600 baucar bantuan persekolahan diagihkan kepada pelajar memerlukan

Admin

DATOK KERAMAT – Ekoran sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo telah menyalurkan bantuan berbentuk baucar kepada keluarga yang memerlukan.

Beliau berkata, program pemberian bantuan pakaian sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datok Keramat sudah sekian lama tidak diadakan susulan penularan pandemik COVID-19.

JAGDEEP ketika menyerahkan baucar kepada salah seorang penerima.

“Sebanyak 600 baucar bernilai RM75 diberikan kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk mereka membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak mereka.

“Diharapkan dengan sumbangan ini dan bermulanya sesi persekolahan kelak, anak-anak dapat menjaga diri dan kesihatan dengan baik kerana wabak COVID-19 masih lagi ada,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat semasa menyampaikan bantuan tersebut dekat Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Free School pada 30 Disember 2021.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer yang turut menyumbangkan dana bagi program tersebut untuk tiga KADUN dalam kawasan Parlimen Jelutong.

“Sebanyak RM45,000 diperuntukkan kepada keluarga di sekitar kawasan Jelutong untuk membeli keperluan persekolahan seperti pakaian, buku dan lain-lain.

“Justeru, saya menyeru kepada ibu bapa untuk kekal berwaspada dengan keadaan virus COVID-19 agar tidak dijangkiti khususnya anak-anak mereka,” katanya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADUN