62 ahli MPKK diberi latihan bantuan kecemasan

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 62 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dalam Parlimen Bukit Bendera mengambil bahagian dalam program latihan kecemasan anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Program dengan kerjasama KADUN Kebun Bunga, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Bomba Pulau Pinang itu merangkumi sesi taklimat, simulasi ‘Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) serta demonstrasi pemadaman api.

Ahli Majlis bagi MBPP, P. R Kaliyappan memberitahu bahawa program berkenaan dianjurkan khusus untuk anggota MPKK di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

“Tujuan latihan ini adalah untuk memberi kesedaran, pengetahuan dan juga pengalaman kepada barisan MPKK untuk membantu rakyat semasa waktu kecemasan.

“Sebagai Ahli Majlis, saya juga akan memberi latihan lain yang bermanfaat untuk masa hadapan kepada pihak MPKK kerana mereka merupakan pemimpin akar umbi yang dapat membantu warga negeri pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya ketika berucap pada program berkenaan di Balai Rakyat Padang Tembak pada 28 Julai lalu.

Justeru, Kaliyappan merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak-pihak berkaitan kerana memberi sokongan penuh dalam menjayakan program tersebut.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar: MBPP