62 atlet negeri terima bantuan, insentif PACE sejumlah RM101,450

Admin
KETUA Menteri (empat dari kiri) diiringi pemimpin Kerajaan Negeri merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para penerima bantuan insentif PACE serta para penyumbang program tersebut di KOMTAR pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Menerusi program Penang Athlete Career Education (PACE), Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Harapan hari ini menyerahkan pelbagai bentuk bantuan serta inisiatif kepada 62 atlet negeri dengan melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM101,450.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya berharap dengan penyerahan bantuan serta insentif tersebut, ia akan meningkatkan lagi tekad, azam serta prestasi mereka yang berkenaan pada masa hadapan, sekali gus memajukan industri sukan secara keseluruhannya.

“Sesungguhnya, Pulau Pinang berada atas landasan yang tersendiri dalam aspek pembangunan dan kebajikan atlet kerana kita percaya komitmen sebegini mampu menjadi pemangkin semangat serta merangsang kejayaan para atlet kita pada masa akan datang.

“Adalah diharapkan melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif di bawah program PACE ini, para atlet negeri dapat menanam tekad serta azam tinggi untuk memberikan prestasi yang terbaik, bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga kepada industri sukan secara keseluruhannya,” jelasnya sempena Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan dan Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bagi Program PACE yang berlangsung dekat Auditorium A, Komtar do sini pada 8 November 2021.

SOON Lip Chee

Turut berucap, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group Holdings Berhad, Tan Sri Richard Koh Cheng Keong; Pengarah Urusan Kumpulan Hunza Properties Bhd., Datuk Khor Siang Gin dan beberapa kenamaan lain.

ACARA penyerahan cek replika oleh para penyumbang dana kepada Ketua Menteri bagi menjayakan program PACE.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa seramai 25 atlet negeri layak menerima Insentif Galakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua atlet bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); dengan jumlah keseluruhan peruntukan insentif sebanyak RM9,550.

Menurut beliau, pada kali ini, seramai 20 atlet lain turut layak menerima Bantuan Insentif Pendidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara ‘one-off’ yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17,100.

“Ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima Bantuan Insentif Pendidikan IPT Program PACE sehingga hari ini adalah seramai 46 atlet.

“Saya amat yakin angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa dengan adanya usaha untuk terus menghulurkan bantuan insentif serta dorongan seperti ini kepada atlet negeri,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

ANTARA atlet negeri yang dipilih menerima bantuan dan insentif berkaitan di bawah program PACE.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa seramai 31 atlet termasuk 15 penerima baharu akan mendapat Bantuan Biasiswa Sukan sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT, yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM74,800.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada sekalian pihak penyumbang bagi menjayakan program PACE yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

Mereka, antaranya adalah Syarikat Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd.; Syarikat Hunza Properties Berhad; Syarikat UWC Berhad; Syarikat Dee Noon Corporation; Syarikat Menara Kerjaya; Only World Group Holding Berhad dan tambahan tiga lagi rakan penaja yang terbaru iaitu Frank Group of Companies; Jin Huo Gold & Jellewery Industries (M) Sdn. Bhd. serta Bold-Pack Industries Sdn. Bhd..

“Besar harapan kita untuk melihat lebih ramai lagi agensi korporat seperti ini sudi tampil bersama-sama Kerajan Negeri untuk menyokong kejayaan dan melestarikan pembangunan sukan serta memperkasakan peranan dan bakat modal insan, sekaligus merealisasikan Visi Penang2030,” ulasnya.

Buat kali pertama, dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri, bantuan dan insentif PACE disampaikan pada 26 April 2021, yang mana seramai 40 atlet Pulau Pinang telah layak menerima bantuan berkaitan di bawah program tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING