644 pelajar baru terima Biasiswa Kecil Negeri

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 644 orang pelajar baru daripada 103 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang menerima sumbangan Biasiswa Kecil Negeri (BKN) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM440,400.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam meringankan beban ibu bapa serta waris pelajar terutamanya bagi yang kurang berkemampuan.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar BKN sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2013 yang mana kenaikan kali pertama melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah dan bagi menengah atas pula daripada RM360 kepada RM720.

Sebahagian pelajar yang menerima biasiswa.

“Manakala kali kedua pula kadar kenaikan BKN adalah sebanyak RM120 bagi setiap kategori menjadikan kadar baru adalah sebanyak RM600 bagi menengah rendah dan RM840 untuk menengah atas.

“Bantuan ini diberikan kepada semua sekolah di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM19.2 juta sejak tahun 2008 dan telah memanfaatkan seramai 30,271 orang pelajar,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek BKN bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberarang Perai Tengah (SPT) di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Amat Sazali Abu Hassan; guru-guru serta para pelajar.

Difahamkan, seramai 185 orang pelajar daripada 27 buah sekolah di Daerah SPU serta 165 pelajar daripada 27 sekolah di Daerah SPT menerima biasiswa pada hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga ADUN Perai menjelaskan bahawa peningkatan jumlah sumbangan biasiswa berkenaan adalah disebabkan pentadbiran bersih berteraskan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Sepanjang tempoh 10 tahun di bawah urus tadbir yang berlandaskan prinsip CAT, Pulau Pinang terus mengalami lonjakan paradigma yang sangat pantas.

“ Kerajaan Negeri amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik bakat-bakat baru dan terbaik selaras dengan Revolusi Industri Digital 4.0,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD