6,795 pekerja asing sektor pembinaan selesai jalani ujian saringan COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 6,795 orang pekerja asing sektor pembinaan di seluruh Pulau Pinang telah selesai menjalani ujian saringan COVID-19 sehingga hari ini (21 Mei 2020).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada keseluruhan sampel saringan kesihatan yang diambil membabitkan 79 peratus pekerja tersebut, seramai 2, 067 pekerja (30.5 peratus) di bahagian pulau dan Seberang Perai (301 pekerja) menunjukkan 100 peratus keputusan negatif.

“Di seluruh Pulau Pinang, kita mempunyai seramai 11,861 pekerja asing di tapak pembinaan, dan 79 peratus atau 6,795 daripadanya telah selesai menjalani ujian saringan COVID-19 sebagaimana diwajibkan ke atas mereka.

“Sebagaimana yang saya katakan daripada 6,795 sampel yang diambil, 2,067 di bahagian pulau dan (301) Seberang Perai menunjukkan keputusan negatif… ini adalah berita baik kerana keputusan hanya akan diperolehi selepas tiga hingga empat hari selepas saringan dilakukan.

“Diharap, keputusan memberangsangkan ini akan berterusan dan menjadikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri zon Hijau di Malaysia,” ujarnya ketika mengadakan pemantauan di tapak ujian saringan COVID-19 di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Padang Polo sebentar tadi.

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Noorhanis Noordin (Pengarah Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP); wakil-wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan BP Clinical Lab Sdn. Bhd..

Ketika berucap, Jagdeep memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, status zon Hijau yang diberikan kepada Pulau Pinang pada 24 April lalu adalah berkat ketegasan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan SOP dan ia perlu dikekalkan.

“Walau bagaimanapun, kita (rakyat Pulau Pinang) tidak boleh akur dan terlalu selesa dengan status ini kerana peperangan terhadap COVID-19 ini belum selesai sehingga vaksin ditemui. Semua pihak perlu bekerjasama untuk atasi pandemik ini.

“Kita akan terus melakukan operasi saringan untuk memastikan 100 peratus kesemua pekerja warga asing di sektor pembinaan ini menjalani ujian ini.

“Manakala pekerja asing di sektor-sektor lain seperti perkilangan serta makanan dan minuman (F&B), saya difahamkan bahawa mereka telah mengambil inisiatif sendiri untuk pergi melakukan saringan,” maklum beliau.

Kerajaan Negeri melalui MBPP dengan kerjasama BP Lab sejak minggu lalu telah mewujudkan fasiliti khas dekat Padang Polo bagi melakukan swab test khusus untuk pekerja asing di sektor pembinaan dan dalam tempoh seminggu, sebanyak 1, 598 sampel ujian saringan COVID-19 telah dilakukan.

Senada dengan Jagdeep, Tung Seang dan Noorhanis dalam ucapan masing-masing turut menyatakan komitmen di pentadbiran masing-masing untuk terus melakukan yang terbaik dalam usaha mengekalkan negeri sebagai zon Hijau.

Noorhanis berkata, di pihak MBSP pemantauan di tapak pembinaan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak iaitu pemaju, perunding mahupun pihak kontraktor mengikuti semua SOP yang telah ditetapkan.

“Untuk memastikan tapak-tapak pembinaan ini bebas daripada jangkitan COVID-19, MBSP dari semasa ke semasa sememangnya membuat pemantauan dan kita gembira apabila sebahagian besar keputusan yang telah keluar menunjukkan kesemuanya negatif,” ujar beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD