Salah guna laluan pejalan kaki & basikal, penunggang motosikal berdepan kompaun RM300

Salah guna laluan pejalan kaki & basikal, penunggang motosikal berdepan kompaun RM300

PADANG KOTA – Tindakan kompaun RM300 boleh dikenakan sekiranya penunggang motosikal menggunakan laluan khas pejalan kaki dan lorong basikal untuk meletakkan kenderaan dan menunggang di laluan tersebut.

Menurut Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, kesalahan tersebut adalah tertakluk di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

 “MBPP menyeru penunggang motosikal untuk mematuhi arahan ini demi keselamatan pejalan kaki dan orang awam yang menggunakan laluan tersebut yang mungkin juga sahabat mereka sendiri.

“Kita juga telah kenal pasati beberapa kawasan yang sering digunakan oleh penunggang motosikal yang menyalah guna laluan pejalan kaki seperti di Padang Kota, Persiaran Karpal Singh, Jalan Kelawei, laluan basikal dekat Queensbay dan The Light,” maklum Tung Seang ketika melancarkan Kempen Tiada Motosikal Di Atas Siar Kaki & Laluan Basikal di Padang Kota pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Ketua-ketua Jabatan.

Tambah Tung Seang, tujuan utama mengadakan kempen tersebut bukan untuk memberikan kompaun sebaliknya bertujuan untuk menjaga keselamatan pejalan-pejalan kaki dan penunggang basikal.

“Tindakan mendidik adalah secara berterusan namun mereka masih boleh dikompaun,” jelasnya lagi.

Beliau memaklumkan untuk kesalahan sebelum ini penunggang motosikal dikompaun sebanyak RM250, namun kini telah dinaikkan kepada RM300.

“Masa RM250 memang ada yang dikompaun tetapi sejak dinaikkan RM300 ini belum ada lagi yang dikompaun,” tambahnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN