7 Masjid Madani dinobat Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah berusaha menobatkan tujuh buah masjid sebagai Masjid Madani negeri Pulau Pinang.

Tujuh buah masjid yang dipilih sebagai Masjid Madani ialah Masjid Negeri Pulau Pinang, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Masjid Seberang Perai Utara, Masjid at-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas dan Masjid al-Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas.

Dalam pelaksanaan Masjid Madani tersebut, Kerajaan Negeri berusaha menerapkan ciri-ciri 3M iaitu Mulia, Mesra dan Menarik. Umumnya, Masjid Madani membawa makna masjid terkehadapan dari aspek pengimarahan dan menjana tenaga menjadikan masjid sebagai pusat transformasi dalam melahirkan dan membangunkan umat Islam yang cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan aspek keagamaan terutamanya agama rasmi Islam dalam pentadbiran, malah, pelbagai inisiatif dilakukan demi mewujudkan semula generasi Islam yang cemerlang seperti zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Objektif kewujudan Masjid Madani adalah untuk menjadikan masjid sebagai tumpuan utama masyarakat setempat, menyediakan program pengimarahan masjid bagi semua peringkat usia, menjadi pusat sosioekonomi dan pusat transformasi umat Islam sejagat.

“Bagi merealisasikan konsep Masjid Madani ini, pengisian aktiviti-aktiviti pengimarahan di samping mempertingkatkan keupayaan AJK dan Pegawai Masjid turut diberi penekanan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan prasarana-prasarana yang berteraskan ciri-ciri 3M agar lebih banyak masjid di negeri ini dapat diwujudkan sebagai Masjid Madani kelak,’’ katanya di sini baru-baru ini.