70 peratus unit PPR Permatang Tok Subuh telah diisi, respons Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 157 daripada 231 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permatang Tok Subuh telah berjaya diisi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa proses pemilihan untuk baki selebihnya juga telah selesai dilakukan dan diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara bagi tujuan penawaran.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 berhubung kelewatan dalam penyerahan dan pengisian bagi lapan skim perumahan rakyat di lima negeri di negara ini termasuk satu projek di Pulau Pinang iaitu PPR Permatang Tok Subuh.

“Di Pulau Pinang, daripada laporan itu saya dapati ada satu projek iaitu PPR Permatang Tok Subuh yang berpunca daripada kelewatan penyerahan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri.

“PPR Permatang Tok Subuh sepatutnya diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada Februari 2015 tetapi tertangguh selama hampir tiga tahun dan proses itu hanya selesai pada 21 Disember tahun lepas.

“Setelah itu kita bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk membuat pengisian yang mana sehingga kini kita telah berjaya mengisi 70 peratus daripada keseluruhan 231 unit manakala bakinya telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pengesahan,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengurusan Perumahan, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Dalam pada itu, Jagdeep menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua skim perumahan awam termasuk PPR serta skim-skim perumahan di bawah pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Sejak 2008 Kerajaan Negeri membelanjakan RM191,532,149.56 untuk pengurusan dan penyelenggaraan bagi 47 skim perumahan awam melibatkan 14,867 unit serta empat PPR (999 unit).

“Selain itu, kita juga membelanjakan RM58,809,846.99 untuk penyelenggaraan perumahan swasta yang layak serta perumahan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membawa jumlah keseluruhan sehingga kini adalah RM250,341,996.55.

“Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Skim Sewa Beli (RTO) dalam usaha membantu pemilikan rumah pertama yang mana setakat ini sejumlah 2,474 unit telah dikenal pasti bagi tujuan itu,” katanya lagi.

Dalam isu berasingan, Jagdeep menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih bersedia untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Saya percaya ahli-ahli parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) juga telah menyatakan pendirian sebegitu dan kita sedang menunggu langkah seterusnya yang boleh diambil oleh menteri berkaitan.

“(Dan) kita mengalu-alukan apa juga langkah yang akan diambil bagi menangani isu ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD