700 terima surat cara Jemaah Pengurusan, urus sekolah Islam

Admin
93263932 83f5 4800 8e32 69c8b75fec5d MOHAMAD Abdul Hamid menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyerahan Surat Cara Jemaah Pengurusan Sekolah-Sekolah Islam Negeri Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort di sini pada 26 Jun 2025.

JAWI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) buat julung-julung kalinya menyerahkan surat cara berwajib kepada 700 orang pengerusi atau setiausaha bagi menguruskan 340 buah sekolah Islam di negeri hari ini.

2991d667 aeb3 435c becb a3314becd31d
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, mereka yang dilantik sebagai Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) dapat memainkan peranan hakiki sebagaimana ditetapkan oleh MAINPP dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Saya amat mengharapkan JPS memahami peranan masing-masing… (demi) memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah berjalan lancar serta mencapai matlamat pendidikan dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh MAINPP atau JHEAIPP,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP dalam majlis berkaitan di sini pada 26 Jun 2025.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut berharap mereka yang dilantik sebagai JPS harus bergerak aktif serta memainkan fungsi secara efektif demi mengejar kecemerlangan pendidikan di sekolah Islam masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, prestasi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini akan terus dimartabatkan, antaranya melalui penyaluran peruntukan tambahan dalam bentuk elaun tambahan kepada 1,630 orang guru KAFA.

“(Ikut pecahan,) guru biasa menerima RM1,300 kepada RM1,500 (tambahan RM200), manakala guru besar menerima RM1,350 kepada RM1,600 (tambahan RM250).

“Ia, melibatkan kos tambahan sebanyak RM4.2 juta,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM176,000 setahun untuk tujuan pemberian sumbangan kerana ‘masyaqqah’ terputus bayaran elaun semasa cuti bersalin, buat guru KAFA.

“Seramai 200 orang guru dan kakitangan di Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Rendah Agama Rakyat telah mendapat manfaat kenaikan elaun sebanyak RM500 seorang sejak Januari 2025.

“Jumlah tambahan peruntukan adalah sebanyak RM1.9 juta,” katanya lagi.

Turut berucap, Pengarah JHEAIPP, Ustaz Marzuki Hassan.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR