71 peniaga dan pekerja Pasar Awam Bukit Mertajam diarah jalani ujian saringan

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 71 peniaga dan pekerja di Pasar Awam Bukit Mertajam diminta menjalani ujian saringan COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKD SPT) dalam kadar segera.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud menegaskan bahawa mereka yang gagal berbuat demikian bakal dikenakan tindakan tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan.

Katanya, langkah itu diambil susulan arahan penutupan pasar awam berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 31 Mei hingga 1 Jun 2021 selepas tiga peniaga disahkan postif COVID-19.

“Semalam, seramai 25 peniaga dipanggil untuk menjalani ujian saringan manakala 46 lagi peniaga dan pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah dihubungi untuk menjalani ujian yang sama pada hari ini.

Rozali menunjukkan poster yang menyenaraikan prosesur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru KKm yang dibuat dalam bentuk yang mudah difahami.

“Sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan oleh pihak PKD SPT. Oleh itu, kita minta kerjasama semua peniaga dan pengunjung yang disyaki menjadi kontak rapat supaya menjalani ujian saringan atau menghubungi PKD SPT untuk temu janji.

“Sila ambil arahan ini secara serius kerana pihak MBSP tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk menarik semula lesen perniagaan,” ujarnya pada sidang media secara langsung melalui platform Facebook sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut memaklumkan bahawa MBSP telah menambah kawat duri di sekitar Pasar Awam Bukit Mertajam untuk menghalang kemasukan peniaga dan pemborong ke lokasi berkenaan.

“Tindakan ini diambil selepas kita mendapati terdapat seorang pemborong sayur telah memasuki perkarangan pasar bagi menjalankan kerja-kerja pemunggahan barangan perniagaan tanpa kebenaran.

“Oleh hal demikian, tiga kompaun telah dikeluarkan kepada pemborong tersebut atas kesalahan di bawah Undang-undang Kecil 3 (1)(n) dan Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSP) 1993 (1) serta Undang-undang Kecil Bayaran Lesen (MBSP) 1980 (1).

“Pemborong tersebut juga telah dikompaun oleh KKM di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan dikenakan denda berjumlah RM5,000,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemborong dan peniaga agar tidak menjalankan sebarang akiviti perniagaan di tepi-tepi jalan berdekatan Pasar Awam Bukit Mertajam terutamanya di Jalan Pasar dan Jalan Bunga Raya.

“Hanya peniaga dan pemborong yang mempunyai premis perniagaan di dalam atau berhampiran premis berdekatan Pasar Awam Bukit Mertajam dibenarkan berniaga,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP