KM jemput Pengerusi SPR ke forum Undi Popular PRU13 P.Pinang esok

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dipelawa menjadi panelis forum “Fakta Sebenar Pakatan Rakyat Menang Undi Popular PRU-13” di DOME Komtar di sini 8.30 malam esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian sebagai reaksi pada cabaran Datuk Ahmad Maslan (Ketua Penerangan UMNO) Isnin lepas.

Beliau berkata, Abdul Rashid wajar tidak menolak pelawaannya itu memandangkan Pengerusi SPR terbabit menyertai sesi penerangan selama kira-kira dua jam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat Kuala Lumpur yang membabitkan Ahmad sendiri serta jentera Penerangan UMNO dari seluruh negara baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap beliau akan datang untuk jawab perkara berbangkit,” ujar Guan Eng dalam satu sidang media selepas majlis jamuan rasmi Kerajaan Negeri di sini semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon,Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua-Ketua Jabatan dalam Kerajaan Negeri turut hadir pada majlis harmoni itu.

Guan Eng berkata, Ahmad Rashid akan menulis surat jemputan serta-merta bagi mamastikan hasrat Kerajaan Negeri diterima oleh SPR.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Dr. Ong Kian Meng (Ahli Parlimen Serdang) dan Dr. Dzulkefly Ahmad (bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, PPPP) adalah panelis dalam forum kendalian Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tersebut.

Terdahulu, Pakatan Rakyat meraih 89 kerusi Parlimen dengan undi popular terbanyak, iaitu berjumlah 51.3 peratus.

Manakala, Barisan Nasional pula mendapat 113 kerusi Parlimen sungguhpun undi minoriti parti pemerintah itu hanya 48.7 peratus.

Sistem Elektoral atau Undi Kerusi telah memberi kelebihan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik semula menjadi perdana menteri serta menubuhkan Kerajaan Pusat.