Dr. Afif terima penyerahan jawatan Exco baru

Admin
Law Choo Kiang (kiri) menyerahkan tugas dan portfolio Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir kepada Dr. Afif Bahardin (kanan) di Komtar baru-baru ini.
Law Choo Kiang (kiri) memberi penjelasan berhubung pelaksanaan kerja portfolio beliau sebelum ini kepada Dr. Afif Bahardin di Komtar baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Mantan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang secara rasmi menyerahkan tugasnya kepada Dr. Afif Bahardin selaku Exco baru dilantik memegang jawatan berkenaan di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, selaku Exco baru dilantik, terdapat beberapa perubahan pada portfolio dipegang Dr. Afif iaitu merangkumi bidang kerja Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Dr. Afif berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai Exco dan memberikan khidmatnya kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa.

“Banyak benda yang perlu dipelajari. Justeru, saya mengharapkan tunjuk ajar daripada senior dan kumpulan kukuh dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Saya akan meneruskan prestasi baik (portfolio) ini dengan cekap dan terbaik,” ujarnya ketika ditemui pada satu majlis ringkas penyerahan jawatan di pejabatnya di sini.