73 peratus kes keganasan rumah tangga dicatat di Seberang Perai – Boon Poh

Admin

BAGAN DALAM – Sebanyak 80 peratus daripada 8,500 kes rogol yang dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2010 hingga 2018 di tanah air ini adalah melibatkan mangsa kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun, dengan 50 peratus daripada rekod kes sama melibatkan mangsa antara usia 13 hingga 15 tahun.


Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mendedahkan, 73 peratus daripada keseluruhan 2,376 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di Pulau Pinang bagi tempoh tahun 2010 hingga 2018 berlaku di bahagian Seberang Perai.

Justeru, beliau mengulangi komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk saling bekerjasama dengan semua pihak bagi menghentikan isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian ketika menggantikan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, merasmikan sambutan Penang Goes Orange di padang awam Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth di sini pada 17 November 2019.

Menurut Boon Poh, bagi kes cabul pula, antara tahun 2010 hingga 2018, lebih daripada 7,000 kes dilaporkan yang mana 40 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

“Keganasan sebegini bukan sahaja memudaratkan individu atau mangsa yang terlibat, malah, memberi kesan yang mendalam ke atas keluarga dan masyarakat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menegaskan kepada semua komitmen kami untuk rakyat Pulau Pinang bagi menangani masalah ini,” tegasnya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu di depan ribuan hadirin di sini.

Turut berucap, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, mewakili Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Seri Delima, Syerleena Abd. Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Rosnani Mahmod; dan Presiden Women’s Centre for Change (WCC) Pulau Pinang, Susan Siew turut sertai acara tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2014 lagi menganjurkan kempen Penang Goes Orange (PGO), sempena 16 kempen di peringkat antarabangsa ke arah usaha menghentikan keganasan berasaskan gender, dengan menjadikan oren atau jingga sebagai warna tema kempen di peringkat global.

Sementara itu, Kasthuriraani berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 lagi menyediakan peruntukan tahunan khusus kira-kira RM170,000 untuk membiayai Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW).

“Sehingga kini, PPW telah berjaya membantu kira-kira 5,600 orang wanita dan kanak-kanak dari seluruh Seberang Perai.

“Kesemua perkhidmatan ini dinikmati secara percuma, tanpa bayaran,” jelasnya sambil mengulangi iltizam politik Wanita Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk lebih agresif dalam Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di negeri ini.

Sebelum itu, seawal kira-kira jam 7 pagi, Dataran Pemuda Merdeka di sini mulai dibanjiri hadirin, rata-rata wanita dan kanak-kanak bagi menyertai acara senam robik dan zumba.

 

Usai acara itu, ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan ADUN Pulau Tikus, Lee Chun Kit dengan diiringi Bee Leng menyempurnakan acara pelepasan peserta jalan kaki ria sejauh 2.6 kilometer (km) di sini.

Nyanyian lagu ‘Standing in the eyes of the World’ oleh penyanyi cilik, Adik Nur Dini; aksi gendang tradisional Penang Dhol Blasters; tarian interaktif Baby Shark; pertandingan mewarna kanak-kanak; cabutan bertuah dan Food Truck merupakan antara acara menarik sepagian di sini, tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD