75 murid, pelajar terpilih KADUN Seri Delima terima bantuan awal persekolahan ZPP

SERI DELIMA – Seramai 75 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah terpilih di KADUN Seri Delima menerima bantuan awal persekolahan dari Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Baucar bantuan zakat yang berjumlah RM150 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dalam satu majlis ringkas di Dewan JKKK Bukit Gelugor dekat sini, pagi tadi.

SYERLEENA Abdul Rashid menyampaikan bantuan awal persekolahan dari Zakat Pulau Pinang kepada salah seorang penerima di sini pagi ini.

Ketika ditemui, Syerleena memaklumkan bahawa pemberian bantuan awal persekolahan dari ZPP ini merupakan program tahunan melibatkan murid-murid dan pelajar-pelajar terpilih di KADUN Seri Delima.

“Penerima ialah mereka yang berpendapatan rendah serta mempunyai tanggungan ramai dan juga ibu-ibu tunggal yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

“Selain baucar, penerima turut menerima beg kanvas istimewa ‘My Seri Delima’, kalendar serta pin lencana butang (button badge) ‘I ❤️ Pulau Pinang’,” ujarnya.

Difahamkan, baucar tersebut boleh ditunaikan di pasar raya terpilih dan penerima boleh membuat pembelian kelengkapan persekolahan mengikut kadar yang ditetapkan.

Mengulas lanjut mengenai ‘My Seri Delima’, Syerleena berkata, ia merupakan suatu inisiatif kerangka program yang dirancang untuk penduduk di KADUN Seri Delima bagi tempoh lima tahun.

“Setelah enam bulan menjadi wakil rakyat di sini saya dapati masih ada cabaran yang perlu dihadapi malah saya juga banyak mempelajari selok-belok mengenai komuniti di sini.

“InshaAllah, tahun hadapan saya akan melancarkan ‘My Seri Delima’ iaitu perancangan program-program untuk tempoh lima tahun khas buat penduduk di Seri Delima,” ceritanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN Seri Delima yang banyak membantunya.

SALAH seorang peniaga di Kompleks Makanan Taman Tun Sardon teruja menerima kalendar daripada Syerleena Abdul Rashid (berkemeja hitam) pagi ini. (Ihsan : ADUN).

Terdahulu, Syerleena meluangkan masa kira-kira sejam mengedarkan kalendar tahun baru di Pasar Awam Taman Tun Sardon.

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI