812 peminjam mikro kredit dapat ‘one-off’ RM900

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kanan) diringi Abdul Halim Hussain (kanan sekali) dan Aziz Bakar (kiri sekali) menyampaikan cek replika kepada tiga penerima bantuan 'one off' RM900 di Komtar pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Seramai 812 peniaga kecil yang aktif di bawah Skim Pinjaman Harapan (SPH) akan menerima bantuan secara ‘one-off’ sejumlah RM730,800 atau RM900 seorang, mulai pertengahan bulan Februari ini.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa sumbangan itu akan disalurkan melalui kaedah bayaran terus ke akaun (EFT) para penerima yang layak.

“Bantuan khas ini bertujuan memudahkan usahawan-usahawan yang telah menerima pinjaman SPH sebelum ini bagi meringankan bebanan kewangan mereka dalam meneruskan operasi perniagaan, dan seterusnya dapat meneruskan perniagaan masing-masing,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti di Komtar pada 19 Februari 2021.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Timbalan Ketua Pegawai Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Aziz Bakar turut sertai sidang media tersebut.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, SPH atau sebelum ini dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) merupakan tabung pinjaman mikro kredit yang ditubuhkan pada tahun 2009 yang diuruskan oleh PDC demi membantu usahawan mikro dan penjaja kecil mengembangkan prospek perniagaan mereka.

Sehingga Disember 2020, menurutnya lagi, SPH disertai oleh 3,634 orang dengan jumlah pinjaman mikro kredit keseluruhannya kira-kira RM20.14 juta.

“Daripada 3,634 orang peserta SPH, 812 orang yang menerima bantuan ‘one-off’ RM900 ini adalah peserta yang aktif dengan skim pinjaman mikro kredit Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Selepas sidang media tersebut, Ahmad Zakiyuddin yang juga ADUN Pinang Tunggal menyerahkan cek replika kepada tiga penerima sahaja, dalam majlis serba ringkas mengikut prosedur operasi standar (SOP) PKP 2.0.

MOHAMMAD Jamalulail Abdul Rahman

Sementara itu, salah seorang penerima, MOHAMMAD JAMALULAIL ABDUL RAHMAN, 44, yang ditemui kemudian menyifatkan pengumuman Ahmad Zakiyuddin itu sebagai simbol penghargaan kepada para usahawan mikro SPH yang aktif berurusan dengan Kerajaan Negeri dan PDC.

“Sebagai peniaga pakaian wanita di pasar raya Giant dekat Bayan Baru, hasil jualan merosot lebih 50 peratus disebabkan pelaksanaan PKP.

“Dengan bantuan ‘one-off’ RM900 ini, saya anggap sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri dan PDC kepada para peserta skim pinjaman mikro kredit SPH,” jelasnya lagi.

A. A. Shahjahan

Seorang lagi penerima, A.A. SHAHJAHAN, 59, pula memuji kaedah pembayaran sumbangan secara EFT tanpa syarat permohonan yang payah.

“Saya adalah peniaga kecil di Pasar Chowrasta, ada membuat pinjaman mikro kredit SPH sebelum ini.

“Apabila berlaku PKP, perniagaan semakin mencabar tetapi (ejen pengutip pinjaman mikro kredit) PDC begitu membantu memudahkan urusan saya, ini saya puji.

“Seperkara lagi, ada 812 peminjam aktif yang dikenal pasti layak menerima bantuan khas ini, tidak perlu membuat permohonan berwajib untuk melayakkan dapat bantuan khas ini, kaedah pembayaran secara EFT wajar dipuji juga,” jelasnya.

BEH Siew Cheng

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima, BEH SIEW CHENG, 49, yang merupakan usahawan salun kecantikan di Wisma Central, Jalan Mechaliser di sini.

“Saya membuka sendiri salun kecantikan, tetapi, buat masa sekarang tidak dibenarkan beroperasi lagi.

“Maka, dengan adanya bantuan khas secara ‘one off’ RM900 ini, boleh lega sedikit lah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PDC kerana menghulurkan tangan kepada para peserta SPH yang aktif,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut memuji PDC kerana begitu mudah dan cepat memproses permohonan skim pinjaman mikro kredit tanpa faedah beliau pada tahun lepas, sebelum PKP 1.0.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB