83 peserta ambil bahagian dalam kejohanan Dart Perseorangan Piala Ahli Majlis MBSP

Admin

SEBERANG PERAI – Seramai 83 peserta termasuk dari negeri Perlis, Kedah dan Perak mengambil bahagian dalam Kejohanan Dart Perseorangan Piala Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Pusat Kecemerlangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Seberang Perai Utara pada 5 Februari lalu.

ZAINUDDIN berucap semasa sesi perasmian baru-baru ini.

Ahli Majlis bagi MBSP, Zainuddin Mohamed berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Wawasan Pulau Pinang itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara komuniti setempat.

“Acara sukan dart (damak) merupakan pengalaman dan kesempatan pertama bagi saya untuk melihat aktiviti sukan ini secara lebih dekat.

Selain itu, penganjuran pertandingan ini juga dilihat dapat memberi manfaat kepada golongan belia serta mengukuhkan perpaduan komuniti setempat.

“Oleh itu, saya akan memberikan sokongan penuh terhadap aktiviti sukan ini sekiranya diakan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Wawasan Pulau Pinang merangkap penganjur kejohanan, Amin Zakiyuddin.

Bagi menjayakan kejohanan tersebut, Zainudin telah bermurah hati menyumbangkan peruntukan berjumlah sebanyak RM5,000 manakala baki 20 peratus dibiayai oleh pihak penganjur.

Dalam sesi yang sama, Zainuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan kejohanan ini.

“Saya sendiri berpeluang membuat balingan dan mendapati teknik yang betul perlu dipelajari terlebih dahulu untuk mendapatkan balingan yang baik,” ujarnya sambil memaklumkan bakal menganjur kejohanan futsal pada masa akan datang.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: AHLI MAJLIS MBSP