85% projek pembinaan di Pulau Pinang tidak patuh ESCP, kata Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata 85 peratus daripada projek pembinaan di Pulau Pinang tidak mematuhi syarat-syarat Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) yang telah dikemukakan oleh juruperunding.

Beliau berkata, angka itu diperolehi daripada 90 operasi mengejut yang dijalankan dekat tapak pembinaan swasta dan kerajaan menerusi Ops Lumpur sejak 2017 hingga Oktober tahun ini yang menyaksikan sebanyak 77 projek mempunyai ketidakpatuhan ESCP.

Menurutnya, daripada enam operasi yang dijalankan pada 2017, empat projek didapati tidak mematuhi ESCP, sementara pada tahun 2018 pula menyaksikan ketidakpatuhan dikesan di 18 tapak projek menerusi 18 operasi yang dijalankan.

Menurutnya lagi, sehingga Oktober tahun ini sebanyak 66 operasi bersepadu Ops Lumpur dijalankan dan ketidakpatuhan dikenal pasti di 55 projek pembinaan.

“Walaupun operasi bersepadu telah ditingkatkan dengan ketara, kadar ketidakpatuhan ESCP masih tidak menurun. Hal ini menunjukkan bahawa pihak pemaju dan jurutera perunding seolah-olah bersikap tidak endah terhadap keperluan untuk mematuhi ESCP.

“Ini adalah kadar yang amat tinggi, maka tidak hairanlah apabila aduan banjir lumpur sering diterima. Malah, ketidakpatuhan ESCP yang serius juga boleh mengakibatkan tanah runtuh di tapak pembinaan,” katanya ketika Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang, semalam.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, peningkatan kadar ketidakpatuhan oleh pemaju disebabkan tindakan atau penalti yang dikenakan terlalu ringan iaitu berbentuk arahan pembaikan atau arahan henti kerja selepas ketidakpatuhan dikenal pasti.

Beliau berkata, dari segi penalti berbentuk denda, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mempunyai peruntukan kompaun manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula hanya mempunyai peruntukan kompaun sebanyak RM250.

“Jawatankuasa Ops Lumpur telah bermesyuarat untuk mencari jalan bagi mengenakan penalti yang setimpal dengan kesalahan. Setelah membuat tinjauan, jawatankuasa mendapati bahawa negeri Selangor berjaya melaksanakan penguatkuasaan ESCP dengan jayanya melalui penguatkuasaan kompaun di bawah Seksyen 70A, 71 dan 121 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Kadar kompaun yang dibenarkan pula adalah separuh daripada denda diperuntukkan dalam Akta 133. Daripada statistik yang dikongsi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, secara purata nilai kompaun yang dikutip sejak pelaksanaan kompaun ini lebih kurang RM500,000 setahun.

“Pada masa sama, statistik di Selangor juga menunjukkan trend menurun dari segi bilangan kompaun dikeluarkan setelah dikuatkuasakan sejak tahun 2005,” katanya.

Susulan itu, Zairil berkata satu kertas kerja untuk meminda Undang-undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan-kesalahan) Jalan, Parit dan Bangunan 1980 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam masa terdekat.

Sekiranya diluluskan, tambah beliau, kesalahan di bawah Seksyen 70A, 71 dan 121 Akta 133 akan menjadi kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM25,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 70A, Seksyen 71 (RM250,000) dan Seksyen 121 (RM5,000).

Di samping itu, beliau berkata jawatankuasa juga mencadangkan satu unit khas ditubuhkan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengendalikan penguatkuasaan undang-undang itu.

“Kepada semua pemaju dan jurutera perunding di Pulau Pinang, ambillah ucapan ini sebagai satu saranan. Sekiranya masih lagi tidak mematuhi ESCP dan gagal menunaikan syarat-syarat di bawah kelulusan pelan kerja tanah, denda yang berat akan menanti,” tegasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB