90 Manifesto PH berjaya dicapai, Ketua Menteri persoal pertikaian Dr. Afif Bahardin

Admin

GEORGE TOWN – Bekas Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut terlibat bersama dalam menyediakan 68 akujanji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kira-kira empat tahun lepas, semasa menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pada waktu itu, Dr. Afif sendiri bersama-sama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang lain tidak menetapkan sistem nilai bagi mengukur tahap pelaksanaan semua akujanji yang ditawarkan PH.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa kejayaan Kerajaan Negeri melaksanakan 90 peratus daripada 68 akujanji yang terkandung dalam manifesto negeri selama tempoh empat tahun tidak mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan penduduk negeri.

“Empat tahun dahulu, semasa akujanji ini dibuat, (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN) Seberang Jaya turut terlibat dan semasa itu kita tidak pernah menetapkan sistem nilai untuk mengukur tahap kejayaan 68 akujanji ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Terdahulu, Afif semasa membahaskan ucapan bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, antara lain menyifatkan 90 peratus daripada 68 akujanji Pakatan Harapan “sebagai mengelirukan Dewan (DUN) dan penduduk Pulau Pinang di bawah sana”.

“Takkanlah Kerajaan Negeri masih belum melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang adalah sama nilainya dengan akujanji menanam 100,000 batang pokok (yang berjaya ditanam) di negeri ini.

“Akujanji yang tidak dilaksanakan lagi, ia tidak dilaksanakan…bagi saya 90 peratus daripada 68 akujanji berjaya dilaksanakan adalah ‘mengelirukan’,” ulasnya yang kita wakil rakyat bagi Perikatan Nasional.

Pertikaian Afif itu mengundang pertikaman lidah daripada beberapa ADUN Kerajaan Negeri seperti M. Satees (Bagan Dalam), Gooi Hsiao-Leung (Bukit Tengah), Muhamad Faiz Fadzil (Permatang Pasir) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ALISSALA THIAN