96 asnaf Jalan Tenggiri terima sumbangan zakat sempena Aidilfitri

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 96 orang asnaf terpilih dari kawasan Jalan Tenggiri, di sini menerima sumbangan zakat sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang jaya, Abdul Jalil Che Ros dalam majlis yang berlangsung dekat Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (JKKK) Tenggiri.

Abdul Jalil Che Ros menyerahkan sumbangan zakat kepada salah seorang penerima.

Abdul Jalil berkata, pemberian sumbangan tersebut adalah untuk memberikan keceriaan kepada semua penerima dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka tidak lama lagi.

“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban penerima dalam melakukan persiapan untuk menyambut hari raya,” katanya semasa berucap pada Program Ukhuwah Aidilfitri bersama MPKK Tenggiri, sebentar tadi.

Difahamkan, setiap asnaf menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan harian seperti beras, minyak, tepung dan sebagainya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS