BAYAN LEPAS – Timbalan Ketua Eksekutif Kanan (Pengurusan) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Abdul Latiff Abd. Aziz hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Eksekutif PDC yang baharu.
Lafaz ikrar sumpah simpan rahsia disempurnakan di hadapan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PDC, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Kamar Lembaga PDC dekat sini sebentar tadi.
Difahamkan, pelantikan Abdul Latiff adalah bagi menggantikan Dato’ Aziz Bakar yang bersara wajib selepas lebih 35 tahun berkhidmat dengan PDC.
Ketika ditemui Buletin Mutiara, Abdul Latiff menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri serta Ahli Lembaga PDC atas pelantikan tersebut.
“InsyaAllah, saya akan berikan yang terbaik supaya PDC kekal unggul sebagai agensi yang banyak menyumbang kepada negeri Pulau Pinang.
“Saya dan seluruh pasukan akan pastikan sumbangan ini berterusan, sekali gus menjadikan PDC sebagai sebuah agensi yang unggul dan dipandang tinggi bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Difahamkan, Abdul latiff, 57, mula berkhidmat di PDC sejak Januari 1994 dan pernah dilantik mengemudi pelbagai bahagian di agensi itu termasuk perindustrian, pembangunan perniagaan, pelaburan dan perancangan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD