Abdul Rahman zahir penghargaan kepada pimpinan negeri, barisan hadapan urus wabak COVID-19

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri, TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas. 

 

Abdul Rahman tiba di Dewan Sri Pinang pada jam 9:35 pagi dan disambut oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow. 

 

Turut sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar serta barisan tertinggi kepimpinan negeri. 

 

Pembukaan persidangan bagi penggal ini adalah agak menarik dan bersejarah apabila berlangsung serba ringkas tanpa istiadat kawalan kehormatan seperti lazimnya. 

 

Malah, Abdul Rahman tidak berucap panjang kecuali melafazkan ucapan perasmian semata-mata memandangkan negara kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Walau bagaimanapun, teks ucapan penuh diedarkan kepada semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. 

 

Dalam teks ucapan penuh, Abdul Rahman menzahirkan ucapan tahniah dan syabas atas kepimpinan Ketua Menteri dalam mengurus tadbir Negeri Pulau Pinang dengan cemerlang tatkala negeri dan negara tercinta dilanda wabak COVID-19. 

 

“Saya percaya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab dan memberikan komitmen yang terbaik dalam memastikan perkhidmatan Kerajaan Negeri khususnya dapat berfungsi tanpa sebarang masalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. 

 

“Saya juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wira barisan hadapan terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, pihak berkuasa tempatan dan semua jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam misi pencegahan wabak COVID-19. 

 

“Hanya Tuhan yang dapat membalasnya (komitmen yang tinggi oleh barisan hadapan). Sesungguhnya anda semua ialah wira kami. 

 

“Serentak itu, semua rakyat Pulau Pinang adalah diharapkan mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya duduk di rumah,” ujarnya yang turut mendoakan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat di negeri ini. 

 

YANG Dipertua Negeri, TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas (duduk, di kerusi merah) berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di Dewan Sri Pinang pada 17 April 2020.

 

Menyingkap prestasi pelaburan sepanjang tahun 2019, Abdul Rahman memaklumkan bahawa pelaburan Negeri Pulau Pinang amat memberangsangkan. 

 

Walau bagaimanapun, perhatian serius harus diberikan kini apabila penularan pandemik COVID-19 terhadap situasi pelaburan dan rantaian pembekalan global memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kebanyakan syarikat. 

 

“Kerajaan Negeri perlu terus meningkatkan usaha untuk memperkasa dan menggalakkan pelaburan tempatan serta luar negara sama ada dalam bentuk pelaburan baru atau pelaburan semula bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negeri. 

 

“Lazimnya, penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan. 

 

“Sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri kita. 

 

“(Oleh itu), Kerajaan Negeri perlu membantu dan memberi dorongan kepada para peladang, penternak dan nelayan terutama dalam menghasilkan produk tertumpu (niche)

 

“Penggunaan teknologi moden juga perlu dipertingkatkan dan menjadi amalan agar produktiviti serta pasaran hasil tani, ternakan dan perikanan terus dipertingkatkan,” katanya. 

 

Dalam teks ucapan, Abdul Rahman turut menyentuh isu gelandangan yang merupakan isu rumit untuk diselesaikan oleh mana-mana kerajaan baik di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. 

 

“Menyedari perkara tersebut, saya mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif untuk membina Pusat Transit Gelandangan bagi membendung dan menangani isu ini. 

 

“Terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana menyediakan bangunan miliknya untuk projek ini di Jalan C.Y. Choy,” zahir beliau. 

 

Abdul Rahman juga memuji Kerajaan Negeri yang menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pembinaan masjid baharu di negeri ini. 

 

Antara masjid baharu disiapkan adalah Masjid Bukhary, Masjid Jamek Kampung Bonggol dan Masjid Jamek Kampung Rawa. 

 

“Saya berharap agar usaha menbendung ancaman akidah dan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam sentiasa diberi perhatian. 

 

“Tugas dan amanah dalam melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’ hendaklah digalas dengan sikap yang positif, yakin, tegas dan berhikmah agar selari dengan konsep melahirkan ‘khaira ummah’ (kelompok masyarakat yang baik) di Pulau Pinang,” katanya. 

 

Abdul Rahman dalam pada itu mengharapkan agar Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan semua warga kerja perkhidmatan awam, swasta dan rakyat Pulau Pinang bersama-sama menggembleng tenaga dan daya fikir menyumbang ke arah perancangan pembangunan negeri yang lebih baik dan inklusif.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI 
Video : ALVIE CHENG