Accelent buka kilang di Pulau Pinang

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

LIM Guan Eng (duduk) mencuba sendiri salah sebuah alat yang digunakan untuk pemotongan mikro peranti endoskopik sambil diperhatikan oleh Donald Spence dan Zabidah Daud.
LIM Guan Eng (duduk) mencuba sendiri salah sebuah alat yang digunakan untuk pemotongan mikro peranti endoskopik sambil diperhatikan oleh Donald Spence dan Zabidah Daud.

BAYAN LEPAS Accellent Incorporated (AI) merupakan salah satu pembekal peranti perubatan terkemuka di dunia terutama dalam kejuruteraan dan pembuatan alatan perubatan kini telah mengumumkan pembukaan kilang pembuatannya yang berkeluasan 65,000 kaki persegi di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Penubuhan kilang ini memainkan peranan penting dalam pasaran peranti perubatan di Asia memandangkan terdapat beberapa klien utama kami di rantau ini,” ujar Danald Spence, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AI.

“Kami juga mengharapkan dengan adanya kilang pembuatan baharu ini akan membawa paradigma baru dalam penghasilan yang lebih cekap dan efisien,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan pembukaan kilang tersebut menzahirkan ucapan tahniah kepada Accellent Manufacturing Sdn. Bhd. kerana memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penghasilan peranti perubatan terkemuka dunia.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini giat meningkatkan dan memperkukuhkan sektor peindustrian negeri yang bukan sahaja hanya tertumpu kepada penghasilan peranti elektronik dan elektrik malah turut mempelbagaikan industri penghasilan dalam semua lapangan,” ujarnya dalam ucapan perasmian di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, sejak tiga tahun lalu, Pulau Pinang telah berjaya menarik perhatian para penggiat industri pembuatan dalam lapangan aeroangkasa, penghasilan lampu LED, bioteknologi dan peranti perubatan.

Malah, dengan kewujudan AI di Pulau Pinang, ia mampu membuka ruang kepada para penggiat industri untuk menapak di Pulau Pinang.

AI merupakan salah sebuah syarikat pengeluar peranti perubatan terkemuka serta membekalkan peranti endoskopik, kardiologi serta orthopedik kepada Abbott Laboratories, Boston ScientificCovidien, Johnson & JohnsonMedtronic, Smith & Nephew, St. Jude Medical dan Stryker. Malah AI memperoleh USD$507 juta pendapatan pada tahun 2010 jika dibandingkan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak USD$478.8 juta. Berpegang kepada prinsip “Helping People Live Better Lives”, Kerajaan Negeri yakin AI mampu memperoleh pendapatan yang lebih lumayan setelah kilang tersebut siap sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan.

Hadir sama dalam sidang media tersebut Pengarah Operasi AI Pulau Pinang, Chan Sek Foo; Pengarah Urusan Pemprograman, William Montague Jr.; Ketua Pengarah Eksekutif Penang Skills Development Corporation (PSDC), Boonler Somchit; Pengarah Malaysian Industrial Development Authority (MIDA) Pulau Pinang, Zabidah Daud dan beberapa wakil AI serta perwakilan industri Pulau Pinang.