Adaptasi normal baharu pembelajaran dalam talian, tuisyen di rumah

BATU UBAN – Selain sektor industri, pelancongan dan makanan yang terjejas teruk akibat COVID-19, sektor pendidikan tidak kurang hebatnya menerima kesan pandemik tersebut.

Menurut pemilik Pusat Tuisyen Fast Track di Sungai Dua, Syed Ahsan Shahul Hameed, hampir 60 hingga ke 70 peratus pendapatan di pusat tuisyen terjejas.

“Keadaan ini bertambah teruk apabila Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan.

“Jadi melalui pasukan yang ada di Fast Track ini, kami tampilkan idea untuk mengadakan kelas secara dalam talian.

“Namun, ibu bapa agak susah untuk menerima cara pembelajaran dalam digital seperti ini.

“(Dan) tidak dinafikan, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu pun memang payah apatah lagi kini,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Buletin Mutiara pagi ini.

Jelas Syed Ahsan, apabila sekolah ditutup secara automatik pusat tuisyen juga turut ditutup.


“Rentatan itu, wujudnya overhead expenses yang mana sewa premis dan upah gaji masih perlu dibayar dan sebagainya.

“Mujur ada bantuan dari kerajaan, jadi kakitangan tenaga pengajar tidak dipotong gaji.

“Fast Track dalam pada itu juga menawarkan kaedah baharu pembelajaran iaitu tuisyen di rumah, yang mana tenaga pengajar akan ke rumah pelajar untuk sesi pembelajaran,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan semasa, Syed Ahsan memaklumkan bahawa kaedah tuisyen di rumah ini juga kian mendapat sambutan.

“Ibu bapa hari ini tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam pelajaran, hal ini kerana sudah terlalu banyak masa mereka habiskan di rumah.

“Sekiranya sesi persekolahan macam sekarang, banyak mata pelajaran yang mereka akan ketinggalan, maka dengan mengadaptasikan kaedah tuisyen di rumah adalah penyelesaian terbaik untuk anak-anak mereka dan dalam masa sama dapat memberi lebih tumpuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Ahsan menzahirkan harapan agar pihak kerajaan dapat memperluaskan penggunaan papan putih digital yang dilihat sebagai alat bantuan mengajar yang sangat membantu pengusaha pusat tuisyen berdaftar sepertinya.

Sementara itu, isterinya Mazlinda Mohideen Bathusha yang juga salah seorang tenaga pengajar memberitahu bahawa bagi menarik semula kemasukan pelajar, Fast Track mengambil inisiatif mengadakan kelas dalam talian secara percuma.

Katanya, melalui kaedah baharu itu, penerimaan ibu bapa dan pelajar semakin meningkat.

“Di Fast Track kita menggabungkan kreativiti penyampaian menggunakan grafik interaktif untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik.

“(Dan) pada bulan Julai lalu, ketika pusat tuisyen dibenarkan beroperasi secara penuh dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), ia memberi nafas baru kepada kami.

“Apabila pembukaan semula, kita di sini mempunyai tiga pilihan produk utama iaitu kelas biasa, kelas secara dalam talian atau kelas tuisyen di rumah.

“Sebagai langkah mengadaptasi normal baharu, pembelajaran dalam talian memang mendapat sambutan menggalakkan dan ia merupakan hasil usaha pasukan di Fast Track yang mempelbagaikan cara penyampaian bagi menarik minat pelajar.

“Selain itu, kuiz dan permainan secara interaktif juga mampu membuatkan pelajar lebih memberikan tumpuan dalam satu-satu subjek,” ulas Mazlinda.

 

Dalam satu lagi temu bual bersama seorang guru seni, Cheng Yeow Chye, beliau tidak menjalankan sebarang kelas semasa tempoh PKP atau pun PKP Bersyarat (PKPB).

Berpengalaman mengajar kira-kira 30 tahun, Yeow Chye berkata pengajaran seni lukis dalam talian tidak bersesuaian.

“Saya percaya sekiranya pelajar hadir dalam kumpulan kecil dan mematuhi SOP ianya masih selamat berbanding kehadiran di kafe atau kedai makan.

“Sekiranya PKPB tidak benarkan sektor melibatkan pembelajaran beroperasi, saya bimbang sektor ini tidak mampu bertahan,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI