ADUN agih pek bantuan sara diri, bungkusan jamuan menjelang Deepavali

Admin
GOH Choon Aik (tengah) diiringi N. Thiyagaraja (kanan) menyerahkan pek bantuan sara hidup kepada salah seorang penduduk Ladang Valdor di sini pada tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik pada tengah hari tadi mengambil kesempatan mengagihkan 333 pek bungkusan jamuan kepada penduduk di kawasannya pada acara keraian sempena sambutan Deepavali yang bakal kunjung tiba.

GOH Choon Aik

“Tiap-tiap perayaan sejak dua tahun lepas, sebagai ADUN, saya akan anjurkan seminggu lebih awal (daripada tarikh perayaan).

“Tetapi, kebetulan hari ini adalah hari terakhir untuk diadakan acara sosial sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka, diagihkan bungkusan jamuan sahaja.

“(Sempena PKPB ini), saya buat tiga kaedah iaitu buat jamuan makan secara bungkusan seperti hari ini, kedua, pandu lalu dan ketiga, agihan bungkusan dari rumah ke rumah,” jelasnya kepada pemberita selepas menyampaikan 50 pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih di Ladang Valdor di sini pada 8 November 2020.

Turut serta, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ladang Valdor, N Thiyagaraja.

Menurut Choon Aik, dalam tempoh tiga hari ini, pihaknya akan mengagihkan 150 pek bantuan kepada golongan terpilih di empat lokaliti iaitu Ladang Valdor, Simpang Empat Taman Merak dan Taman Cassia dekat Batu Kawan.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya akan mengagihkan pek bekalan makan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) beragama Hindu yang bertugas di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD