ADUN Batu Uban sediakan kemudahan demi kebajikan warga emas

Admin

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan menyediakan kemudahan lokasi pembayaran yang lebih strategik bagi sumbangan Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) demi kebajikan dan keselesaan penerima sumbangan.

Menurut Kumaresan, beliau membiayai sewa Dewan Utama Pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memudahkan urusan penerima sumbangan PPWE di kawasan Batu Uban.

“Sepatutnya bayaran (PPWE) dibuat di Maybank dekat Komtar, namun setelah menerima maklum balas daripada warga emas pada sesi pembayaran sebelum ini, saya memohon supaya pembayaran di buat di sini.

“Mereka (penerima sumbangan) tidak perlu lagi ke Maybank Komtar yang terletak jauh dan bersusah payah untuk mencari tempat letak kereta hanya semata-mata untuk menerima penghargaan.

” Lokasi di sini lebih dekat dengan penduduk di kawasan Batu Uban selain mempunyai tempat parkir yang luas, dewan berhawa dingin serta terdapat kemudahan bas percuma (CAT) demi kesenangan penerima,” ujarnya ketika ditemui pada program berkaitan 7 Mac 2020.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; sukarelawan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat serta kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut.

Mengulas lanjut, Kumaresan memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan pembayaran PPWE melalui perkhidmatan EFT (Electronic Fund Transfer) iaitu wang dimasukkan terus ke akaun penerima.

“Mungkin pemberian sumbangan secara manual tidak lagi dilakukan selepas ini kerana Kerajaan Negeri bercadang untuk menggunakan sistem transaksi bank pula.

“Kaedah transaksi bank dalam bentuk tanpa tunai ini lebih selamat dan memudahkan warga emas untuk menerima sumbangan dengan lebih cepat,” katanya.

Difahamkan, bagi Fasa 1 PPWE tahun ini, seramai 4,464 warga emas menerima manfaat tahunan sebanyak RM150 daripada Kerajaan Negeri bagi KADUN Batu Uban.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara sempat menemu ramah dua penerima sumbangan.

Bagi KHAIRON BEE ABDULLAH, 71, beliau berasa sangat bersyukur dan gembira dengan pemberian sumbangan itu.

“Sumbangan yang diterima ini, saya boleh menggunakannya untuk perbelanjaan harian di pasar sekaligus meringankan beban saya,” ulasnya.

Seorang lagi penerima, FARISA BAHARUDDIN, 64, berkata pemberian sumbangan kali ini lebih banyak berbanding sebelum ini, RM120 sahaja.

“Saya berasa sangat seronok menerima penghargaan ini yang sedikit sebanyak boleh membantu dari segi kewangan,” katanya yang datang bersama-sama rakan bagi menerima sumbangan tersebut.

Teks & Gambar : SITI FATIMAH HUZAIDI