ADUN Bayan Lepas sasar santuni dan bela 90 keluarga memerlukan

Admin

 BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz terus memberi perhatian terhadap golongan yang memerlukan bantuan di Kawasan Dewan Undangan Negerinya (KADUN).

 

Beliau yang ditemui baru-baru ini berkata, ziarah prihatin yang diadakan diharap dapat membela nasib golongan memerlukan melalui pelbagai medium bantuan yang kerajaan sediakan.

 

Atas keprihatinan itu, jelasnya lebih memudahkan beliau untuk menyalurkan bantuan permulaan mahupun melakukan pemantuan bagi individu yang telah diberi bantuan sebelumnya.

 

“Antara sebab saya menggerakkan ziarah prihatin bersepadu ini adalah untuk menyantuni terus rakyat marhaen yg perlukan sokongan dan dokongan kerajaan,agensi kerajaan dan juga badan kebajikan yang lain di kawasan ini.

 

“Agensi yang sering terlibat sepanjang tahun ini termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zakat Pulau Pinang (ZPP), Pejabat Daerah dan Tanah bagi Daerah Barat Daya (PDT DBD) Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan juga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

 

“Saya sendiri juga akan turun padang dan tahun ini kita sasarkan 90 keluarga akan disantuni dalam menyelami masalah yang dihadapi mereka,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Hadir sama, Penghulu bagi PDT DBD, Kamal Yusof, wakil-wakil MPKK serta JPWK setempat.

 

Tambahnya, selaku ADUN, beliau perlu selami secara terus permasalahan rakyat dari akar umbi.

 

“Di samping itu ada juga permasalahan yang telah kami salurkan kepada agensi dan jabatan-jabatan berkaitan termasuk PERKESO untuk tindakan selanjutnya,” maklum beliau sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada MPKK dan JPWK setempat yang bekerja keras dalam mendampingi golongan kurang bernasib baik di sekitar KADUN tersebut selama ini.

 

Dalam lawatan baru-baru ini, program Ziarah Prihatin telah menziarahi lapan lokasi antaranya kediaman Zaini Ahmad yang mengalami sakit strok, adik Muhammad Arif Hafiy Asmadi (kereputan tulang), adik Nur Syamimi Suhaimi (sakit tulang belakang dan pendarahan otak disebabkan kemalangan) dan beberapa kediaman lain antaranya pesakit sawan, saraf dan sakit tua.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

 

 

Gambar : ADUN