ADUN Bukit Tambun agih pek makanan bantu golongan B40 hadapi PKP

Admin

BUKIT TAMBUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik mengambil inisiatif membekalkan pek makanan yang siap dimasak kepada golongan berpendapatan rendah (B40) di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan sejak setahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 50 hingga 100 pek makanan dimasak diagihkan setiap hari bagi memastikan golongan berkenaan tidak terputus bekalan makanan sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kakitangan Pejabat Khidmat ADUN Bukit Tambun sedang menyiapkan bungkusan makanan untuk diedarkan kepada yang golongan memerlukan.

“Bantuan ini diberikan kepada golongan B40 yang hilang pendapatan semasa tempoh PKP, contohnya mereka yang bekerja sebagai tukang masak, menangkap ikan, menjual kayu dan yang bekerja dalam bidang pertukangan.

“Golongan ini kebanyakannya tidak ada potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta mendapat gaji harian, jadi dalam tempoh PKP ini mereka akan hilang pendapatan.

“Tambahan pula, kebanyakan mereka ini adalah golongan ibu tunggal dan warga emas selain tinggal bersendirian,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengedarkan makanan kepada golongan memerlukan di sekitar Ladang Valdor dan Kampung Baru Perindustrian Valdor, di sini semalam.

Stok bekalan makanan yang diberi daripada pembekal tempatan.

Jelas Choon Aik lagi, masakan yang diagihkan untuk orang Islam adalah dimasak oleh kakitangan Melayu dari Pusat Khidmat ADUN Bukit Tambun bersama-sama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga (JPWK) serta lain-lain.

Selain makanan yang dimasak sendiri, beliau berkata pihaknya juga membeli makanan daripada penjaja atau pengusaha gerai makanan untuk membantu mereka meraih pendapatan semasa tempoh PKP.

“Bahan-bahan mentah untuk masakan pula kita beli terus daripada nelayan, pekebun sayur dan penternak sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kerugian yang dihadapi mereka,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bukan sahaja makanan, malah pihaknya turut membantu golongan B40 mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah bantuan-bantuan yang kita usahakan ini adalah khas untuk mereka yang memerlukan.

“Sebagai ADUN, saya boleh bantu dalam bentuk bakul makanan, makanan yang siap masak serta menjadi pemudah cara untuk mereka mendapat bantuan berkala daripada Kerajaan Negeri seperti program Agenda Ekonomi Saksama (AES), iSejahtera dan zakat,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Faizal Ramli, 35, yang merupakan antara penerima bantuan menzahirkan penghargaan dan rasa terharu atas keprihatinan Choon Aik terhadap golongan memerlukan di kawasan berkenaan.

Bumbung rumah salah seorang penduduk yang rosak dek ribut telah siap dibaik pulih hasil bantuan Goh Choon Aik.

“YB (Choon Aik) dah banyak bantu penduduk di sini. Selain makanan, banyak lagi bantuan lain yang beliau telah berikan kepada kami.

“Antaranya, beliau membantu membina pintu air iaitu tiga pintu air kecil dan satu pintu air besar untuk mengatasi kejadian banjir kilat yang sering melanda kampung ini.

Mohd. Faizal Ramli.

“Sekarang sudah masuk dua tahun kampung kami tidak lagi mengalami banjir kilat,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Perindustrian Valdor.

Difahamkan, agihan makanan tersebut dilakukan pada setiap hari dari Isnin hingga Jumaat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS