ADUN Bukit Tambun harap laluan baru bas percuma CAT tingkat lagi kualiti hidup rakyat

BUKIT TAMBUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berharap perubahan laluan baru bagi perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) bagi Kawasan Parlimen Batu Kawan, yang mula beroperasi hari ini akan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat terbanyak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu laluan baru itu turut meliputi kawasan taman perumahan yang mempunyai kadar kepadatan penduduk tinggi.

Katanya lagi, perubahan laluan tersebut mampu memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna termasuk penduduk di beberapa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap.

Rupa bentuk bas percuma CAT Batu Kawan yang beroperasi setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 11 malam bermula dari Petronas Bandar Tasek Mutiara dan berakhir di Design Villlage.

“Laluan sebelum ini hanya melalui jalan-jalan utama iaitu dari stesen KTM (Keretapi Tanah Melayu) Simpang Ampat ke Jalan Persekutuan, Jalan Bukit Tambun dan Jalan Batu Kawan sehingga destinasi terakhir iaitu di Design Village.

“Malangnya, perkhidmatan KTM seperti ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) tidak berhenti di Stesen Simpang Ampat, manakala Komuter pula hanya berhenti di stesen-stesen tertentu sahaja menyebabkan stesen KTM tidak mampu berfungsi sebagai terminal pengangkutan awam yang berkesan.

“Ini menyebabkan perkhidmatan bas percuma CAT Batu Kawan mencatatkan jumlah penumpang yang amat mengecewakan dan disebabkan itu, kita mengubah laluan dengan memasukkan kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Taman Merak dan Bandar Tasek Mutiara.

“Taman Merak merupakan kawasan perumahan kos rendah dan sederhana rendah serta melibatkan ketiga-tiga kaum (India, Cina, Melayu),” katanya pada sidang media sempena pelancaran laluan baru bagi perkhidmatan berkenaan di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Choon Aik berkata, matlamat paling penting dalam pemilihan laluan baru berkenaan adalah untuk membolehkan masyarakat setempat menggunakan perkhidmatan bas percuma CAT untuk ke Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua orang awam supaya menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri yang dilihat dapat membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Selain itu, perkhidmatan bas percuma ini juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain dapat membudayakan masyarakat di negeri ini untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya lagi.

Difahamkan, laluan baru bas percuma CAT Batu Kawan akan bermula dari Stesen Petronas Bandar Tasek Mutiara dan akan melalui tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tambun, SK Batu Kawan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu kawan, SK Bukit Tambun, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Keng Koon, SK Taman Merak, SK Mutiara Impian serta SMK Simpang Empat.

Selain itu, tiga buah bank iaitu Hong Leong Bank, Public Bank dan Maybank juga termasuk dalam laluan baru selain pasaraya C-Mart dan Klinik Kesihatan Tasek Mutiara dan berakhir di pusat beli-belah Design Village dengan setiap perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Laluan khas turut diperkenalkan iaitu bermula dari Jeti Batu Musang khusus untuk membawa pelajar-pelajar dari Pulau Aman ke sekolah-sekolah terlibat pada jam 6.30 pagi dan 2.30 petang pada setiap hari persekolahan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan bas percuma CAT sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini dengan pembiayaan sebanyak RM15 juta setahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD