ADUN Bukit Tambun santuni komuniti sempena Hari Bapa

Admin
img 20260621 wa0007

BUKIT TAMBUN – Sempena sambutan Hari Bapa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik turun padang menyantuni komuniti di sekitar Kampung Valdor, Taman Merak dan Pasar Tambun Indah dekat sini.

Beliau turut menyampaikan pencukur serta plaster kelegaan kepada golongan bapa sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka sebagai tonggak keluarga.

Menurut Choon Aik, sebelum ini beliau sering turun ke pasar dan lokasi tumpuan wanita di sekitar Bukit Tambun sempena sambutan Hari Wanita dan Hari Ibu bagi mengagihkan bunga sebagai simbol penghargaan.

“Saya tidak pernah melupakan gurauan para bapa yang sering bertanya, “Hari Bapa nanti kami dapat hadiah apa pula?

“Pertanyaan yang disampaikan secara berseloroh itu sentiasa terpahat dalam ingatan saya dan menjadi inspirasi untuk menyediakan penghargaan khas kepada para bapa pada tahun ini.

“Seperti mana kita maklum, golongan bapa sering dilihat sebagai individu yang tegas dan jarang mengharapkan sambutan atau kejutan seperti Hari Ibu dan disebabkan itu, pengorbanan mereka kadangkala kurang diraikan.

“Oleh itu, kami memilih untuk menghadiahkan pencukur dan plaster kelegaan sebagai hadiah yang praktikal, di samping menyampaikan mesej bahawa setiap ayah juga wajar dihargai dan diberi perhatian,” katanya.

img 20260621 wa0012img 20260621 wa0011

Beliau menjelaskan bahawa pencukur melambangkan kepentingan penjagaan diri walaupun para bapa sentiasa sibuk mencari rezeki dan menguruskan keluarga.

Sementara itu, plaster kelegaan pula menjadi simbol keprihatinan terhadap penat lelah dan pengorbanan mereka yang bekerja keras demi kesejahteraan insan tersayang.

Dalam pada itu, Choon Aik turut melahirkan rasa gembira apabila kali ini tiada lagi pertanyaan seperti “adakah pilihan raya sudah dekat?” daripada penduduk ketika menerima sumbangan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan bahawa masyarakat setempat semakin memahami bahawa budaya menyantuni rakyat sempena perayaan dan sambutan tertentu telah lama menjadi amalan pasukan khidmatnya.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengagihan kuih sempena Tahun Baharu Cina, beras pulut sempena Pesta Perahu Naga, kuih bulan sempena Pesta Kuih Bulan serta bunga carnation ketika Hari Ibu.

“Setiap ayah wajar dihargai… kasih seorang ayah mungkin jarang diungkapkan melalui kata-kata, namun ia sentiasa dizahirkan melalui usaha, pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul setiap hari demi keluarga.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua insan yang bergelar ayah. Semoga mereka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kesejahteraan bersama keluarga tercinta,” ujarnya.

Selain menyampaikan penghargaan sempena Hari Bapa, Choon Aik turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk, mendengar pandangan serta memahami keperluan komuniti setempat.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat demi merealisasikan hasrat membina Bukit Tambun yang lebih harmoni, prihatin dan sejahtera.