ADUN cadang sistem letak kereta komprehensif, selesa

Teks & Gambar: A INUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah di Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey tampil mencadangkan pelaksanaan sistem letak kereta komprehensif yang bukan sahaja mampu mengatasi kesesakan ruang parkir, malah juga memberi keselesaan kepada semua.

Soo Huey dalam sidang medianya menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu senada dalam menyelesaikan masalah kesesakan ruang parkir.

Katanya, mengikut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sehingga 30 Jun 2014, jumlah kenderaan yang didaftarkan di Pulau Pinang mencecah 2,464,564 buah iaitu 10 peratus daripada keseluruhan kenderaan berdaftar di Malaysia.

“ Tetapi , Pulau Pinang hanya merangkumi 5.5 peratus penduduk di Malaysia iaitu 1.7 juta orang berbanding negeri-negeri lain,” ujar beliau.

Tambah Soo Huey, jumlah pemandu atau penunggang kenderaan baru yang didaftarkan meningkat sebanyak 2,653 orang menjadikan 31,836 pemandu berdaftar setiap tahun di Pulau Pinang. (Statistik, JPJ-2012).

“ Antara masalah yang dihadapi oleh pemandu di negeri ini adalah kekurangan ruang parkir, ruang parkir sedia ada digunakan pemandu yang meletakkan kenderaan sepanjang hari, ketiadaan ruang khas bagi pemandu menurunkan atau mengambil penumpang dan ruang parkir di kawasan kediaman digunakan kenderaan komersil,” tambah beliau.

Selain itu , Soo Huey memberitahu, sikap pemandu di Pulau Pinang yang lebih selesa meletakkan kenderaan masingmasing di hadapan premis pilihan serta tidak gemar berjalan jauh turut menjadi punca kesesakan ruang parkir di sesuatu kawasan.

“Oleh demikian, saya telah menghantar kertas cadangan pelaksanaan sistem letak kereta komprehensif kepada MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) sebagai permulaan dan berharap pihak MPPP dapat berbincang lanjut mengenainya.

“Antaranya, termasuklah inisiatif membangunkan premis khas parkir bertingkat khususnya di kawasan komersil, mewujudkan ruangan parkir sementara (timedparking) di kawasan bank dan pejabat pos dan mewujudkan kawasan parkir berpermit bagi membezakan penduduk atau ‘orang luar’ bagi kawasankawasan kediaman,’’ jelasnya.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);