ADUN dan JPDTL realisasi Projek Kebun Komuniti Sungai Gelugor

Admin

 SERI DELIMA – Projek Kebun Komuniti Sungai Gelugor yang dirancang sejak tahun lalu mula dibuka dan diusahakan sepenuhnya hari ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, projek tersebut dijayakan dengan sumbangan secara bersama di antara beliau dan Jabatan Pertanian Daerah Timur Laut (JPDTL)

 

“Saya amat berharap bahawa kebun komuniti ini mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.

 

“Oleh itu, saya juga ingin mengajak penduduk sekitar untuk datang mempelajari kaedah tanaman dalam bandar ini untuk dimanfaatkan di rumah masing-masing,” ujarnya menerusi siaran FB Live pagi tadi.

 

Syerleena memperuntukkan sejumlah RM1,000 bagi kerja-kerja pendawaian elektrik, manakala JPDTL (RM3,000).

Hadir sama, Penghulu bagi Kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib; Penolong Pegawai Pertanian, Abdul Halim Abdul Aziz dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor, Marasik Jabar.

 

Mengulas lanjut mengenai projek tersebut, Syerleena memaklumkan bahawa JPDTL telah menyumbangkan kelengkapan tanaman.

 

“Kelengkapan yang disumbang membabitkan tanaman fertigasi gantung yang terdiri daripada 50 benih pokok, beg poli, sistem saliran dan paip, pam air untuk baja dan pembinaan stuktur tanaman gantung,” tambah beliau.

Manakala, Abdul Halim berkata melalui projek tersebut terpulang kepada komuniti sama ada akan membuat jualan pukal atau buat pusingan modal untuk tanaman seterusnya.

 

 “Antara tanaman-tanaman yang diusahakan di sini termasuklah cili, terung, timun, bendi dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN