ADUN Datok Keramat janji beri khidmat terbaik

Admin

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh mengadakan lawatan mesra untuk bertemu para pengundi di Pasar Awam Jalan Kuantan di sini baru-baru ini.

Lawatan selama satu jam tersebut adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang menyokongnya pada Pilihanraya Umum lalu.

“Terima kasih juga kepada mereka yang telah dan masih lagi mengutuskan ucapan tahniah kepada saya, melalui SMS (sistem khidmat pesanan ringkas), perbualan telefon dan Facebook, terima kasih.

“Saya menganggap sokongan pengundi sebagai salah satu pendorong untuk saya berkhidmat dengan lebih baik terutama kepada penduduk di sini,” ujarnya ringkas di sini.

Jagdeep Singh yang juga Exco Perancang Bandar & Desa dan Perumahan turut meluangkan masa bersalaman dengan para peniaga dan berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.