ADUN dinasihat tak panggil ‘rumah ibadat haram’

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dinasihatkan supaya tidak memanggil rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang tidak mendapat kebenaran pemajuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sebagai ‘rumah ibadat haram’.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa panggilan sebegitu adalah sensitif di negeri ini.

Malah, tambahnya, Kerajaan Negeri mempunyai kaedah tersendiri bagi menangani isu pembinaan RIBI tanpa kebenaran PBT.

“Mana-mana rumah ibadat walaupun bukan Islam ataupun Islam adalah sama juga, mungkin dibina tak ikut (garis panduan) standard.

“Jangan cakap (mana-mana RIBI dibina) secara ‘haram’…ini adalah isu yang sensitif,” tegasnya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Yusni yang juga wakil rakyat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dekat Dewan Sri Pinang pada 13 Oktober 2020 di sini.

MOHD.. Yusni Mat Piah

Sebelum itu, Mohd. Yusni membangkitkan persoalan mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam menangani isu pembinaan RIBI tanpa kebendaan berwajib PBT.

Dalam reaksi balas, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu bahawa //Dalam reaksi balas, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini mempunyai pendekatan yang konstruktif dalam menyelesaikan isu berbangkit tersebut.

“Salah satu langkah yang dilakukan kita (Kerajaan Negeri) adalah kita tawarkan mereka tanah yang lain supaya mereka boleh menempatkan semula (struktur asal RIBI yang dikenal pasti dibina tanpa kebenaran PBT),” ujarnya.

Selain Jagdeep, ADUN Bagan Dalam, M. Satees turut mempertikai ucapan Mohd. Yusni menyebut ‘rumah ibadat haram’.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS