ADUN harap baik pulih rumah pam Bagan Buaya mampu atasi banjir kilat di kawasan sekitar

Admin

JAWI – Rumah pam Bagan Buaya, di sini yang gagal berfungsi sejak beberapa tahun lalu kini telah kembali beroperasi sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah pam berkenaan telah dimulakan sejak akhir tahun lepas dan siap sepenuhnya pada Januari 2019 lalu dengan kos berjumlah RM150,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Kegagalan pam ini beroperasi menyebabkan kira-kira 1,500 buah rumah di Taman Jawi dan Taman Cenderawasih serta kawasan sekitar mudah dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat.

Rumah Pam Kubang Buaya kini mampu mengepam air sebanyak 4,000 liter per saat.

 

 

 

 

 

 

 

“Justeru, kita minta pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) membaik pulih rumah pam ini dan menaik taraf kawasan sekitarnya bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan ini,” katanya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan ke rumah pam berkaitan pagi ini.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeah Shuien; Pegawai dari Pusat Khidmat ADUN Jawi, Low Shi Wei serta beberapa wakil daripada JPS Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi menaik taraf rumah pam berkenaan daripada menggunakan diesel kepada penggunaan tenaga elektrik.

“Sekarang rumah pam ini beroperasi menggunakan diesel menyebabkan mesin pam hanya mampu mengepam air selama sejam sahaja selain itu, ia juga perlu diselenggara setiap kali berlakunya hujan lebat.

“Apabila menggunakan tenaga elektrik rumah pam akan berfungsi secara automatik dan ini akan memudahkan kerja-kerja pihak JPS,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada masyarakat setempat supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat yang menjadi punca kepada kejadian banjir kilat.

Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf melibatkan pelebaran tapak takungan air daripada 5 meter (m) kepada 15m serta penambahan satu lagi saluran air yang membolehkan rumah pam berkenaan mampu mengepam sebanyak 4,000 liter air per saat pada masa ini.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF