ADUN harap naik taraf struktur jambatan selesaikan 80 peratus masalah banjir di Teluk Kumbar

BAYAN LEPAS – Jambatan yang merintangi Sungai Teluk Kumbar dekat Jalan Gertak Sanggul akan ditutup sepenuhnya selama enam bulan bermula 6 Mac depan untuk kerja-kerja penarafan struktur sedia ada.

Sepanjang tempoh penutupan jambatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata bahawa para pengguna jalan raya boleh lah menggunakan Jalan Kampung Masjid, Lintang Kampung Masjid, Tingkat Teluk Kumbar dan Tingkat Teluk Kumbar 1 sebagai jalan alternatif.

“Jambatan sedia ada adalah sempit dan menyukarkan laluan air keluar ketika hujan lebat dan ia (struktur sedia ada) akan dinaik taraf kepada 12 meter (m) panjang dan 12m lebar dengan kos RM2,046,306.42.

“Demi keselamatan awam, jambatan Jalan Gertak Sanggul di sini akan ditutup sepenuhnya bermula 6 Mac hingga 6 September 2021,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 19 Februari 2021.


Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim; Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya, Wan Eika Tansukasih Che Daud turut sertai sidang media tersebut.

Selain itu, Azrul Mahathir turut menjelaskan mengenai tahap perkembangan projek pembinaan tiga rumah pam baharu di sini, yang bernilai RM7,963,210.

Menurutnya, struktur projek baharu tersebut kini siap sepenuhnya dan cuma menunggu kerja-kerja pemasangan pam yang dijangka bermula 5 April hingga 26 April depan.

“Pembinaan pam baharu berkapasiti sembilan meter padu sesaat beserta pintu kawalan (limpahan air) memberi manfaat kepada kira-kira 21,800 orang penduduk Kampung Nelayan, Kampung Suluk, Kampung Matahari Naik serta kawasan perumahan setempat dengan penyelesaian 80 peratus masalah banjir.

“Sebagai wakil rakyat di sini, kalau boleh, saya pun tidak mahu lagi kawasan ini terdedah pada (risiko) banjir.

“Kita (sebagai wakil rakyat penyokong Kerajaan Negeri) memang memberi komitmen terbaik untuk atasi isu ini,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa tahap kemajuan fizikal kini adalah 68 peratus berbanding jadual asal (53 peratus pada 16 Februari 2021).

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI