ADUN harap penubuhan pasukan RELA KADUN Jawi tingkatkan keselamatan penduduk

JAWI – Seramai 30 anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi memulakan tugas secara rasmi pada 26 Januari lalu.

Majlis pelepasan unit tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye dalam majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Pasukan RELA Seberang Perai Selatan (SPS) bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Bagan Buaya Changkat, di sini.

Mooi Lye dalam ucapannya berharap penubuhan pasukan RELA tersebut dapat membantu menjaga keselamatan penduduk sama ada mereka yang tinggal di taman-taman perumahan atau di kawasan kampung sekitar.

H’ng Mooi Lye melepaskan unit Pasukan RELA KADUN Jawi dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

“Terdapat beberapa kes pecah rumah berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya di Taman Bukit Panchor dan kawasan sekitarnya.

“Justeru, diharap dengan adanya unit rondaan pasukan RELA ini, keselamatan persekitaran lebih selamat di samping membantu anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kes-kes jenayah khususnya dalam KADUN Jawi,” ujarnya.

Turut serta pada majlis tersebut ialah Pegawai RELA SPS, Mohd. Rezal Mohd. Radzi; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bagan Buaya Changkat, Heah Bak Seah dan komuniti setempat.

Mengulas lanjur, Mooi Lye menegaskan bahawa soal keselamatan anggota RELA semasa menjalankan tugas juga perlu diberi perhatian yang serius.

“Di samping membuat rondaan bagi menjaga keselamatan penduduk tempatan, keselamatan anggota-anggota RELA yang terlibat dalam membuat rondaan juga perlu diberi penekanan.

“Oleh itu, saya berharap agar kerjasama yang erat antara pasukan RELA SPS dengan pihak KADUN dapat dieratkan lagi demi menjaga keselamatan penduduk serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN