ADUN harap ‘pulau’ rumpai laut

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berharap kawasan diwartakan sebagai tanah tebus guna bermula dari pertengahan laut Persiaran IJM, Sungai Pinang hingga Jambatan Pulau Pinang di sini dikeluarkan daripada pelan pembangunan bagi memelihara hidupan rumpai laut yang subur di kawasan seluas 50 hektar terbabit.

Menurut ADUN terbabit, Teh Yee Cheu, kawasan ‘pulau’ terbabit ditumbuhi dengan empat jenis rumpai laut iaitu dari spesis Hamlophilia, Enhalus dan dua spesis lain (belum dikenal pasti) perlu dipelihara ekoran fungsinya sebagai ‘paru-paru hijau’ kepada hidupan laut di sini.

“Tanah ini sebenarnya telah diwartakan untuk ditebus guna sejak 2007 lagi.

“Pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya ada menggesa Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan lanjut dengan mengeluarkan kawasan ini daripada pelan pembangunan bagi mengekalkan ekosistem marin di sini,’’ ujarnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan khas bersama media ke lokasi berkenaan di sini baru-baru ini.

Selain kawasan tersebut, habitat rumpai laut terbabit turut wujud secara semulajadi di Pulau Gazumbo – nama tidak rasmi pulau kecil terletak berhampiran Jambatan Pulau Pinang.

Hadir sama, Speaker DUN merangkap ADUN Bukit Tambun, Datuk Law Choo Kiang.

Menurut Choo Kiang, rentetan dari isu dibangkitkan Yee Cheu pada persidangan DUN lalu, beliau berkenan untuk melihat sendiri kawasan rumpai laut berkenaan.

“Perkara ini dibangkitkan pada sesi DUN lalu dan hari ini, saya dijemput beliau (Yee Cheu) bagi melihat sendiri kawasan ekosistem terbabit bagi mendapatkan gambaran lebih jelas,’’ nyatanya.