ADUN harap sumbangan buku Sejarah dapat tingkatkan kecemerlangan pelajar dalam SPM

BAGAN DALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees hari ini menyampaikan sumbangan buku Sejarah kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Butterworth yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

M. Satees menyampaikan sumbangan buku Sejarah kepada salah seorang pelajar.

Satees berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu para pelajar dan pihak sekolah untuk mencapai kecemerlangan 100 peratus dalam mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM, kelak.

“Tahun lepas, saya mendapat maklum balas daripada pelajar-pelajar yang menerima sumbangan bahawa buku ini (Sejarah) membantu mereka lulus dalam mata pelajaran Sejarah yang merupakan mata pelajaran teras dalam peperiksaan SPM.

“Justeru, pada tahun ini saya memutuskan untuk meneruskan pemberian sumbangan buku Sejarah sebanyak 1,400 naskhah untuk semua sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam.

“Diharapkan, sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar untuk lulus dalam mata pelajaran Sejarah pada tahun ini,” katanya semasa merasmikan Program Penyampaian Buku Klon Sejarah SPM, di sini sebentar tadi.

Sumbangan diharap dapat membantu pelajar lulus mata pelajaran dalam SPM kelak

Turut serta, Pengetua SMK Convent Butterworth, Lim Lean Yolk; Penolong Kanan Pentadbiran, Muntaj Bagam Shaikh Ismail, barisan para guru serta pelajar-pelajar Tingkatan 5, SMK Convent Buttterworth.

Mengulas lanjut, Satees juga menasihati para pelajar agar terus mempelajari serta menghayati sejarah bagi menghargai kewujudan pelbagai bangsa di negara ini dan bukannya untuk lulus peperiksaan semata-mata.

“Sejarah adalah mata pelajaran penting yang mampu menyatukan kita semua terutamanya dalam keadaan mencabar ketika ini ekoran pelbagai isu yang melanda negara,” ujarnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF