ADUN harap TNB terus mainkan peranan bantu rakyat memerlukan

Admin

BUKIT TENGAH – Kehidupan sukar seorang asnaf yang terpaksa mendiami rumah usang dekat kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini berakhir selepas menerima rumah baru sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM50,000.

Zakaria Abd Aziz, 60, merupakan antara 17 penerima sumbangan rumah baru di bawah projek Baiti Jannati di seluruh negeri Pulau Pinang bagi tahun 2019.

Rumah baru sumbangan TNB yang diserahkan kepada Zakaria Abd Aziz hari ini.

Zakaria berkata, kesempitan hidup memaksa dia dan keluarga menjalani kehidupan di sebuah rumah usang dengan keadaan dinding telah reput selain bumbungnya bocor sejak 30 tahun lalu.

“Saya telah memohon untuk mendapatkan rumah baru sejak 2009 melalui pelbagai agensi.

“Syukur tidak terhingga kerana akhirnya pihak TNB menyambut harapan saya untuk mendapatkan sebuah rumah baru dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini.

Bantuan rumah baru ini akan memudahkan urusan harian isteri saya yang terpaksa menggunakan kerusi roda selepas kehilangan sebelah kaki akibat masalah kesihatan sejak 2008,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Projek Baiti Jannati TNB dekat Bukit Minyak, di sini sebentar tadi.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Hsiao Leung dalam ucapannya berkata, TNB sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan cukup besar dalam membantu masyarakat yang memerlukan di negara ini.

“Ini merupakan usaha yang sangat baik oleh pihak TNB untuk terus membantu rakyat memerlukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Zakaria Abd Aziz, 60, antara 17 penerima rumah baru di bawah projek Baiti Jannati TNB.

“Kerajaan Negeri juga sememangnya prihatin terhadap nasib rakyat memerlukan melalui pemberian sumbangan seperti program i-Sejahtera, Agenda Ekonomi Saksama (AES), bantuan pendidikan, pinjaman perniagaan dan sebagainya,” ujarnya semasa berucap pada program berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Wanita Kumpulan Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB), Datin Seri Aida Abu; Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pulau Pinang, U. U Anandarani; Penolong Pengurus Bahagian Perumahan Asnaf Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohd. Hussairi Abd Manap serta Pengerusi MKPP Bukit Minyak, Chew Chin Ewo.

Dalam pada itu, U Anandarani memberitahu bahawa sejak 2008, TNB membina 717 buah rumah untuk golongan asnaf di seluruh negara membabitkan peruntukan berjumlah RM312 juta.

“Di Pulau Pinang pula, sejak 2008 TNB telah membina 67 rumah kepada asnaf yang dipilih melalui senarai nama yag dikemukakan oleh pihak ZPP.

“Selain itu, TNB juga adakan program CSR membabitkan orang bukan islam melalui projek mesra rakyat yang mana seorang penerima daripada masyarakat Cina dan India menerima rumah baru setiap tahun,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD