Pertandingan Fotografi Autobots umum pemenang

Gambar : SHUM JIAN-WEI

 

GEORGE TOWN – P’ng Kim Chung dinobatkan johan Pertandingan Fotografi Autobots yang dianjurkan bersempena Pameran Ruang Luar Transformers Pertama di Asia Tenggara yang berlangsung pada 3 Ogos hingga 30 September lalu di sini.

Kejuaraan tersebut membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM700.

Penolong Pengurus Kanan Komunikasi Penang Global Tourism (PGT), D’Yani Ramoo berkata, gelaran naib johan dirangkul oleh Sim Loon dengan hadiah bernilai RM500.

“Lima pemenang saguhati ialah Ong Chin Keat, Tham Weng San, Ummi Kalsom Shamsuddin, Lim Chen Li dan Sri Helena Haris yang masing-masing membawa pulang RM200.

“Sebagai tambahan, setiap pemenang turut menerima cenderamata istimewa dari penganjur bersama, Hasbro Toy (Malaysia) Sdn. Bhd. dan i2 Promotions Sdn. Bhd.,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Autobots di sini baru-baru ini.

Menyempurnakan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan dan Ricky Ong (Pengarah Urusan i2 Promotions Sdn. Bhd.).

Secara keseluruhan, pihak penganjur menerima 270 penyertaan dan pemenang dipilih berdasarkan undian paling banyak ‘like’ di laman media sosial, Facebook. Johan menerima keseluruhan 9,700 undian.

Syarat pertandingan adalah setiap peserta perlu merakam gambar dengan cara paling kreatif bersama-sama watak Transformers yang dipamerkan iaitu Optimus Prime dan Bumblebee atau lukisan mural di kawasan sekitar pameran.

Pameran Ruang Luar Transformers Pertama di Asia Tenggara telah diadakan bermula 10 Julai hingga 17 September lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga bagi mempromosi kempen Tahun Melawat Pulau Pinang dan Tahun Melawat Malaysia 2015.