ADUN hulur sumbangan RM5,700, mohon penambahan pili bomba

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang hari ini tampil menghulurkan sumbangan peribadi bernilai RM5,700 kepada mangsa kebakaran dekat Kampung Pisang, di sini.

 

Pada 24 Ogos lalu, sebuah rumah kampung milik Ooi Tzong Shyuan, 31, musnah sama sekali setelah dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 2:45 petang dan turut menjejaskan tiga unit rumah jiran berdekatan.

 

 

Menurut Soon Siang, selain peruntukan peribadi daripada pihaknya, sumbangan hari ini juga melibatkan sumbangan daripada Tabung T.Y.T bernilai RM5,000 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

 

“Hari ini kita akan serahkan peruntukan Tabung T.Y.T kepada tuan rumah (Tzong Shyuan) sebanyak RM5,000. Manakala, daripada empat unit terjejas, dua unit masing-masing mendapat RM150 dan RM100 melalui tabung tersebut.

 

“Satu lagi kerosakan sangat kecil, jadi ianya tidak dapat sumbangan daripada tabung tersebut, namun dari peruntukan saya sendiri kepada mangsa.

“Bagi peruntukan saya, RM5,700 diagihkan kepada rumah utama yang terjejas bersama-sama tiga rumah jiran untuk membantu mereka baiki kerosakan yang berlaku,” ujar beliau kepada pihak media pagi tadi.

Hadir sama, Penghulu bagi kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib.

Dalam perkembangan berkaitan, Soon Siang memaklumkan bahawa pihaknya telah memohon penambahan pili bomba di sekitar kawasan kampung di Air Itam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Perancangan Penilaian Projek Daerah semalam.

 

 

“Namun dimaklumkan oleh pihak Bomba, tiada peruntukan… jadi saya sedikit hairan, apabila Kerajaan Pusat baru-baru ini menyatakan kedudukan kewangan negara kukuh.

 

 

“Sekiranya kewangan kukuh, isu-isu kebajikan rakyat seperti ini perlu diutamakan kerana apabila kebakaran berlaku ianya boleh melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda,” tegasnya.

 

 

Bagi mengelakkan berlakunya kecemasan yang lebih sulit di masa hadapan, Soon Siang turut berharap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dapat mengeluarkan notis kepada pemilik rumah yang melakukan penambahan binaan secara tidak sah.

 

“Penambahan binaan ini terlalu banyak, ekoran dari hal tersebut baru-baru ini kita dapati jentera bomba memang sukar memasuki kawasan ini,” tambah beliau.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD