ADUN Jawi harap projek naik taraf pembentungan Jalan Teluk Ipil kurangkan lagi risiko banjir kilat

Admin
JASON H’ng Mooi Lye (kiri sekali) bersama-sama pemimpin negeri lain melawat tapak projek pembentungan di Jalan Teluk Ipil, Nibong Tebal pada tengah hari tadi.

JAWI – Projek penaiktarafan pembentungan di Jalan Teluk Ipil di sini yang bernilai RM1,184,403 dijangka siap pada 9 Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata pihaknya berharap projek yang dilaksanakan bermula 3 Ogos tahun lepas mampu mengurangkan lagi risiko banjir kilat sekitar Bandar Nibong Tebal dan Taman Nibong Tebal.

JASON H’ng Mooi Lye

“Semasa projek dijalankan, sebahagian jalan di sini mungkin akan ditutup dan akan dibuat jalan sementara serta jambatan besi yang kemungkinan aliran trafik akan terjejas sedikit.

“Saya berkeyakinan setelah projek ini siap, ia akan banyak membantu mengalirkan air dari seluruh kawasan Nibong Tebal ke kolam takungan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).

“Dengan reka bentuk sistem perparitan utama yang sempurna ini, saya percaya ia akan mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar kawasan Bandar Nibong Tebal,” jelasnya kepada pemberita sebelum melawat tapak pemajuan projek tersebut di sini pada 27 Januari 2022.

MOHAMAD Rodzi Hasan

Bercakap pada sidang media sama, Jurutera Daerah bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Selatan, Mohamad Rodzi Hasan memberitahu bahawa CS Engineering Consultancy telah dilantik sebagai juruperunding projek tersebut, dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama 12 bulan selepas projek siap.

Difahamkan projek penaiktarafan pembentungan di Jalan Teluk Ipil tersebut merupakan kesinambungan projek menaik taraf sistem perparitan dekat Taman Nibong Tebal yang telah siap pada tahun 2019 serta melibatkan pembiayaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjumlah RM362,100.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB