ADUN kerajaan ungkit perjuangan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 2008

6622b1fa d298 4a4b aafc 8c08271738c7

GEORGE TOWN — Kerajaan Negeri digesa supaya tidak menggantung harapan mahupun menghentikan usaha mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT), memandangkan ia merupakan ikhtiar penting untuk memperkukuh demokrasi pada peringkat akar umbi.

Desakan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung semasa membahaskan Belanjawan 2027, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, di sini sebentar tadi.

Beliau mengingatkan sekalian anggota Dewan mengenai sejarah pentadbiran negeri sejak tahun 2008 yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan.

“Selepas perubahan Kerajaan Negeri pada tahun 2008, pentadbiran Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng (selaku Ketua Menteri waktu itu) telah berusaha menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

“(Sementara itu,) Ketua Menteri kita hari ini, ADUN Padang Kota, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, yang ketika itu Exco Kerajaan Tempatan, memainkan peranan yang cukup besar dalam usaha tersebut,” katanya.

Beliau menambah bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri pernah menggubal enakmen khas dan membawa isu ini hingga ke Mahkamah Persekutuan pada 2014, walaupun akhirnya terikat dengan kerangka undang-undang Persekutuan.

Namun, beliau seakan-akan meluahkan rasa kurang puas hati apabila cadangan tersebut kini tidak lagi menjadi keutamaan.

“Saya ada bertanya soalan kepada Exco Kerajaan Negeri sama ada kita boleh memohon atau ada rancangan untuk mengadakan pilihan raya balik, tetapi beliau berkata buat masa ini tidak ada sebab ini bukan keutamaan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Saya rasa kita kena teruskan,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, beliau mengajak sekalian ADUN pemerintah dan pembangkang untuk menyorot sejarah ucapan Tan Sri Lim Kit Siang di Parlimen pada tahun 1972 yang menegaskan bahawa pemansuhan pilihan raya tempatan akan membunuh demokrasi akar umbi dan memberi tamparan hebat kepada sistem demokrasi negara.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NURATIKAH RAHMAT