ADUN kesal sentimen perkauman warnai isu penamaan jalan tokoh berjasa

Admin
img 20260511 wa0040

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman sempit berhubung penamaan jalan sempena tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan Pulau Pinang.

Beliau menegaskan bahawa usaha mengiktiraf sumbangan tokoh tempatan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ketika membahaskan Ucapan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, beliau membangkitkan polemik penamaan semula Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fong Kee.

Menurut beliau, Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Ir. Chin Fong Kee merupakan anak jati Malaysia yang memiliki kepakaran besar serta memainkan peranan penting dalam pembinaan mercu tanda ikonik negara seperti Jambatan Pulau Pinang dan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

“Pengiktirafan terhadap sumbangan beliau tidak seharusnya diputarbelitkan menjadi isu perkauman.

“Beliau ialah rakyat Malaysia yang telah menabur jasa besar kepada negeri dan negara,” tegasnya kepada Timbalan Speaker DUN, Dato’ Azrul Mahathir Aziz di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Lebuh Light pada 11 Mei 2026.

Dalam pada itu, Hooi Peng turut mempersoal sikap segelintir pihak yang dilihat tidak konsisten dalam isu penamaan jalan melibatkan tokoh lain sebelum ini.

“Apabila Jalan Tanjung Tokong Lama dinamakan semula sebagai Jalan Syed Ibrahim ataupun apabila Lebuhraya Bandar Cassia dinamakan sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi, tiada pertikaian dibangkitkan kerana masyarakat memahami dan mengiktiraf jasa mereka kepada negeri dan negara.

“Namun, mengapa apabila jalan dinamakan sempena Prof. Chin Fong Kee, ia tiba-tiba dijadikan isu,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu yang mahu mengeruhkan keadaan serta memecah-belahkan perpaduan masyarakat.

“Sikap memilih-milih dalam menghargai jasa tokoh negara hanya akan menimbulkan persepsi tidak sihat dalam masyarakat.

“Hakikatnya, tanpa mengira bangsa atau agama, mana-mana individu yang lahir di Malaysia dan telah menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara wajar dihormati dan diberikan pengiktirafan sewajarnya,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 30 April 2026, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan penamaan semula Persiaran Pantai Sinaran berhampiran The Light City, Gelugor kepada Persiaran Chin Fong Kee.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi (JNNG) Pulau Pinang turut menghadiri acara tersebut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI