Pulau Pinang berpotensi jadi hab kewangan khas susulan konflik Timur Tengah – ADUN

Admin
tkm0511j.jpg

 

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan hab kewangan khas antarabangsa di Pulau Pinang susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah ketika ini.

Menurut beliau, kebanyakan pelabur besar kini mula mengalihkan dana dan aset mereka dari Timur Tengah ke hab kewangan yang lebih stabil seperti Hong Kong dan Singapura.

“Sekiranya kita (Pulau Pinang) mampu menarik sebahagian kecil aliran modal global ini, ia sudah cukup untuk memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

“Pulau Pinang mempunyai kelebihan dari segi lokasi strategik di rantau Asia Pasifik, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta rekod prestasi sebagai pusat pembuatan dan teknologi.

“Dengan memperkukuh sektor perkhidmatan kewangan, termasuk kewangan Islam yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelabur Timur Tengah, kita boleh memposisikan negeri ini sebagai destinasi alternatif yang stabil, telus dan berdaya saing,” ujarnya pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Tambah beliau, konflik di Timur Tengah turut menyebabkan banyak acara antarabangsa mencari lokasi baharu yang lebih selamat dan stabil dari segi geopolitik.

“Rantau Asia Pasifik, termasuk Pulau Pinang, berada dalam kedudukan yang sangat strategik untuk mengambil alih peranan ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Yuee Harng berkata bahawa sektor pelancongan perniagaan dan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) merupakan antara pemacu ekonomi penting negeri.

“Sekiranya kita tidak melepaskan peluang keemasan ini, saya yakin Pulau Pinang mampu mencatat pencapaian lebih tinggi, sama ada dari segi jumlah acara mahupun impak ekonomi.

“Limpahan manfaat daripada strategi ini bukan sahaja terhad kepada pelabur besar, malah akan dirasai seluruh ekosistem ekonomi negeri daripada hotel bertaraf antarabangsa, syarikat penerbangan hinggalah kepada peniaga kecil dan penjaja,” katanya.

Dalam ucapan sama, Yuee Harng turut membangkitkan isu pertindihan syarat pemuliharaan bangunan warisan dan syarat keselamatan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau juga mencadangkan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas Komuniti (Active Ageing Centres) di setiap kawasan komuniti selain memperluas program sukan, rekreasi dan ‘silver volunteerism’ bagi golongan warga emas.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SIEW CHIA EN