Transformasi pelancongan Air Itam kian rancak, ADUN cadang bantuan kos sara hidup rakyat

Admin
whatsapp image 2026 05 11 at 2.06.02 pm

 

GEORGE TOWN – Transformasi sektor pelancongan Air Itam terus menunjukkan perkembangan positif menerusi pelbagai inisiatif berasaskan warisan dan budaya tempatan yang kini berjaya menarik perhatian pelancong antarabangsa serta wakil diplomatik asing ke Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, program perintis Air Itam Heritage Walk yang dilancarkan sejak September 2025 berjaya menghidupkan semula kisah sejarah dan warisan masyarakat setempat.

“Program ini membolehkan pelancong menyelami kekayaan budaya dan sejarah unik Air Itam secara langsung di lokasi warisan terbabit.

“Usaha pemeliharaan identiti ini turut diperkukuh menerusi cadangan pemasyhuran Kampung Melayu Lama Air Itam sebagai Kampung Warisan Melayu pertama di negeri ini, termasuk pemuliharaan tapak bersejarah seperti Makam dan Rumah Suluk Sheikh Omar Basheer,” katanya ketika membahaskan usul pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Menurut beliau, perkembangan tersebut turut melengkapkan inisiatif ‘The Seven Tourism Wonders of Air Itam’ yang merangkumi tarikan ikonik seperti Kuil Kek Lok Si, Empangan Air Itam serta pelbagai hidangan gastronomi bertaraf antarabangsa termasuk yang menerima pengiktirafan Michelin.

Tambahnya lagi, perkembangan sektor pelancongan Air Itam itu turut menarik minat Konsul Jeneral Jepun dan Konsul Jeneral Thailand ke Pulau Pinang apabila kedua-duanya menyertai program Air Itam Heritage Walk baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Soon Siang turut mencadangkan beberapa langkah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat susulan cabaran ekonomi global ketika ini.

Antara cadangan dikemukakan beliau adalah potongan bil air sebanyak 20 peratus kepada pengguna domestik dan peniaga kecil di Pulau Pinang sehingga akhir tahun ini.

“Selain itu, saya juga ingin mencadangkan bantuan kewangan sebanyak RM150 kepada setiap anak Pulau Pinang.

“Bantuan tunai ini bertujuan mengurangkan beban ibu bapa dan dicadangkan disalurkan setiap dua bulan bermula Mei hingga akhir tahun menggunakan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatat prestasi memberangsangkan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merekodkan keuntungan melebihi RM500 juta pada tahun 2024 serta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang mencatat keuntungan melebihi RM144 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga boleh mempertimbang pemberian potongan cukai sebanyak RM50 khusus kepada pemilik kediaman rakyat Pulau Pinang.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SIEW CHIA EN