ADUN komited selesaikan penyampaian bantuan sebelum Ramadan

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan komited untuk sampaikan semua bantuan keperluan harian kepada golongan sasar sebelum bermula Ramadan.

Jelasnya, kini pihaknya baru sahaja menyelesaikan pemberian bantuan yang diagihkan Kerajaan Negeri kepada golongan terkesan akibat wabak COVID-19.

“Hari ini 71 orang penerima bantuan barangan keperluan sumbangan Kerajaan Negeri melengkapkan senarai keseluruhan DUN Batu Uban sejumlah 380 penerima.

“Bagi penerima bantuan Kerajaan Negeri ini, maklumat penerima kita ambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan program Agenda Ekonomi Saksama (AES),” ujar beliau kepada Buletin Mutiara ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Dua semalam.

Tambahnya, bagi peruntukkan beliau, sebanyak 450 telah diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Bagi sumbangan saya kita sudah beri kepada 450 orang penerima dan baki 500 penerima pagi kita akan selesaikan hingga 23 April ini sebelum masuk bulan Ramadan.

“Seperti kita faham, bulan puasa kali ini juga pasti mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini ekoran negara kita yang dilanda COVID-19 dan kita mahu golongan terkesan khususnya umat Islam turut dapat meraikan kedatangan bulan suci umat Islam ini,” jelas Kumaresan lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI