GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat ketika ini berpunca daripada krisis tenaga global yang turut melonjakkan harga barangan serta kos pengangkutan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Skim Pinjaman Harapan (SPH) diperluaskan kepada peniaga kecil dan penjaja bagi mengelakkan golongan berkenaan terjerat dengan pinjaman tidak berlesen atau ‘ahlong’.
Menurutnya, bantuan kewangan yang mudah diakses amat penting bagi memastikan golongan peniaga kecil terus mampu bertahan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Saya mencadangkan agar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membuka kaunter bergerak di pasar-pasar supaya maklumat bantuan ini dapat disampaikan terus kepada penjaja tanpa melalui proses yang rumit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 11 Mei 2026.
Selain itu, Lai Heng turut mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempertimbang pemberian diskaun lesen perniagaan kepada peniaga kecil yang terhimpit bagi memberi ruang pernafasan kepada mereka dalam mendepani keadaan ekonomi domestik yang mencabar ketika ini.
Tegasnya, bantuan kerajaan perlu bersifat proaktif dan bersasar supaya impaknya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di lapangan, sekali gus memastikan kelangsungan ekonomi domestik terus kekal teguh di sebalik ketidaktentuan global.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZ