ADUN lancar tuisyen percuma buat pelajar golongan B40

Admin

AIR ITAM – Sejumlah 20 pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam di sini bakal menerima manfaat tuisyen secara percuma.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Joseph Ng Soon Siang ketika melancarkan inisiatif tersebut berkata, kelas tuisyen percuma berkaitan adalah untuk membantu keluarga dari golongan B40 untuk menyediakan pendidikan terbaik buat anak-anak mereka.

“Menjadi harapan saya dengan adanya tuisyen secara percuma ini akan menguatkan jati diri pelajar sekaligus mengurangkan masalah sosial melalui program-program sokongan seumpamanya.

“Ia adalah salah satu inisiatif pembangunan modal insan berbentuk sumbangan pendidikan kepada masyarakat di sini,” ujarnya ketika melancarkan perkhidmatan tuisyen percuma tersebut dekat Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Melayu di sini.

Sejumlah empat orang guru berpengalaman ditugaskan mengajar empat subjek teras untuk pelajar Darjah 4 seramai 12 orang dan Darjah 5 (lapan orang).

Inisiatif julung kali ini juga mendapat kerjasama daripada JCI George Town, sekolah, badan kerajaan, MPKK/Rukun Tetangga serta sokongan guru-guru dan para sukarelawan.